BESUT: Walaupun kedai runcitnya dinaiki air sehingga 0.3 meter, Norazeha Ismail tetap meneruskan perniagaannya di Kampung Tembila, di sini bagi memastikan penduduk kampung tidak putus barangan keperluan.
Norazeha, 35, berkata beliau dan suaminya Mohd Zafran Ibrahim, 44, sudah biasa dengan keadaan itu memandangkan kawasan kampung berkenaan sering dinaiki air setiap kali musim banjir melanda.
"Memang selalunya begini, kalau banjir kami tetap buka kedai runcit sebab kasihan kepada orang kampung...kadang-kadang ada yang tak sempat nak bawa barang keperluan macam ubat gigi, sabun...mereka akan datang beli di kedai kami.
"Barangan dalam kedai kami belum alih lagi...tapi kalau air naik makin tinggi, kami akan alih ke tempat lebih tinggi tetapi kedai tetap dibuka," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari Sabtu.
Norazeha yang telah berniaga selama 10 tahun berkata walaupun rumahnya juga dinaiki air, beliau dan suaminya tetap mengutamakan pelanggannya.
Sementara itu, seorang pelanggan, Norliza Abdul Aziz, 33, dari Kampung Guntong, Tembila berkata beliau yang tidak sempat membawa barangan keperluan diri sewaktu berpindah ke pusat pemindahan, bernasib baik kerana kedai tersebut dibuka.
"Mujur ada kedai ini...saya terlupa nak bawa berus gigi dan pencuci muka. Kalau tak ada, tak tahulah nak dapat di mana barang-barang ini sewaktu banjir.
"Mangsa-mangsa banjir juga beli barangan dan makanan ringan untuk anak-anak sementara makanan dimasak," katanya.
Sementara itu, beberapa pengamal media yang terperangkap ketika membuat liputan banjir di kawasan tersebut turut mengambil peluang membeli dan menikmati mi segera di kedai tersebut.
Jurufoto Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Arjasneh Ahmad berkata beliau dan tiga lagi pengamal media lain bernasib baik kerana kedai tersebut dibuka.
"Kami tak sempat nak sarapan pagi tadi kerana terkejar-kejar nak buat liputan. Lepas selesai hantar berita dan gambar, kami jalan kaki cari kedai makan.
"Tapi semua tempat di kawasan kampung ini dinaiki air dan tak ada kedai makan yang dibuka. Mujurlah kedai runcit ini ada dan mereka prihatin, beri kami air panas untuk makan mi segera," katanya.
Sumber: Bernama | 21 Jan. 2017
Tiada ulasan:
Catat Ulasan