KUALA TERENGGANU: Beberapa minggu lalu, ada pihak mendakwa terlihat kelibat seekor harimau di Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2), kini seekor tapir pula dikatakan muncul di situ.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, Mohd Hasdi Husin berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), petang semalam.
Katanya ada yang mendakwa haiwan tersebut berada di susur keluar Kijal, Kemaman dan hasil pemantauan mendapati terdapat pagar berlubang yang memungkinkan ia terlepas hingga ke jalan raya.
"Kita telah memaklumkan perkara ini kepada pihak LLM untuk mengambil tindakan dengan membaiki pagar berkenaan. Sebelum ini, pekerja ladang di kawasan berhampiran juga sering kali melihat tapir berkeliaran di kawasan itu," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Semalam, seorang pengguna jalan raya sempat merakamkan video seekor tapir berkeliaran dan menyusur jalan di laluan LPT2 itu kira-kira pukul 7.30 malam, dan ia menjadi tular di media sosial.
Mengenai harimau, Mohd Hasdi berkata pihaknya masih belum berjaya menangkapnya namun telah menyediakan perangkap di beberapa lokasi tertentu.
Sumber: Bernama | 15 Jan. 2017
Tiada ulasan:
Catat Ulasan