Sebahagian projek Lebuh Raya Kota Bharu - Kuala Krai dari Bukit Tiu sehingga ke Kg. Berangan Mek Nab, Machang sejauh 10 kilometer yang dijangka siap pada Mac 2018. |
KOTA BHARU: Orang ramai yang menyumbang bagi membina projek Lebuh Raya Rakyat (LRR) tidak perlu bimbang, derma mereka kini digunakan bagi menyiapkan pembinaan sebuah jambatan di laluan itu.
Sehingga sekarang sebanyak RM3 juta diderma pelbagai pihak untuk tabung projek LLR. Pembinaannya sepanjang 10 kilometer dari Bukit Tiu ke Kampung Berangan Mek Nab di Machang.
Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Utiliti dan Teknologi Maklumat, Datuk Hanifa Ahmad berkata dana itu digunakan untuk membina sebuah jambatan. Katanya, sekarang pembinaan LLR tersebut hampir 20 peratus siap.
“Projek berkenaan yang melibatkan kos kira-kira RM320 juta berjalan lancar di mana kerja-kerja berkaitan tanah sudah selesai dijalankan.
"Kini pembinaan sebuah jambatan di laluan berkenaan sedang dijalankan,” katanya di sini.
Pada peringkat awal kerajaan negeri merancang membina LLR dari Bukit Tiu, Machang sehingga Dusun Damar, Kuala Krai sejauh 30.5 kilometer.
Projek itu bakal disambung dengan projek lebuh raya Pakej 1B dari Pasir Hor ke Kadok sejauh tujuh kilometer yang sedang dibina Kerajaan Persekutuan.
Hanifa juga berkata projek berkenaan dimajukan syarikat Teguh Kualiti Sdn Bhd itu dijangka siap pada Mac 2018.
Sumber: Harakah Daily | 28 Dis. 2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan