Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Isnin, 23 Januari 2017

Jalan ke jambatan Sungai Gali runtuh sukarkan penduduk

PASIR PUTEH: Kira-kira 4,000 penduduk di sini menghadapi kesukaran menjalankan urusan harian apabila arus deras banjir meruntuhkan sebahagian jalan yang menyambung jambatan konkrit Sungai Gali di sini.

Jambatan tersebut yang menghubungkan Kampung Gaal dengan Kampung Gong Datuk, turut digunakan sebagai laluan utama oleh penduduk beberapa kampung lain seperti Kampung Sungai Petai, Kampung Bukit Awang, Kampung Gong Chokoh dan Kampung Gong Pasir.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP), Kampung Gong Datuk, Abdul Rahim Ab Rahman berkata sejak kejadian itu berlaku pada 3 petang semalam, jalan itu tidak boleh dilalui semua jenis kenderaan.

"Kejadian tanah runtuh itu menyukarkan penduduk untuk menjalankan urusan harian termasuk 50 pelajar yang berulang-alik ke Sekolah Kebangsaan (SK) Gaal dan Sekolah Menengah Kebangsaan Gaal," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian hari ini.

Beliau berkata penduduk terpaksa menggunakan jalan alternatif yang lebih jauh dan berharap pihak berkuasa dapat segera membaik pulih laluan berkenaan.

Sementara itu, seorang warga emas Ghazali Mat Daud, 65, dari Kampung Gong Datuk, berkata dia terpaksa menggunakan jalan alternatif melalui Kampung Pulai Lima sejauh 7 kilometer untuk menziarahi anaknya yang tinggal di Kampung Gong Pasir.

"Biasanya jika melalui jambatan berkenaan, jarak rumah saya dengan rumah anak saya hanya empat kilometer," katanya.

Abdullah Hassan, 50, pula berkata dia terpaksa menggunakan jalan lain sejauh enam kilometer melalui Kampung Kemudu Bongkok untuk menghantar anak ke SK Gaal.

"Jarak rumah saya dengan sekolah berkenaan hanya dua kilometer apabila menggunakan jambatan tersebut," katanya.

Sumber: Bernama | 23 Jan. 2017

Tiada ulasan:

Catat Ulasan