Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Jumaat, 20 Januari 2017

857 rumah baharu mangsa banjir Kuala Krai siap

KUALA KRAI: Penantian mangsa banjir jajahan Kuala Krai pada 2014 berakhir apabila kerajaan Persekutuan menyiapkan 857 rumah kekal baharu (RKB) untuk mereka.

Anggota Dewan Undangan Negeri Dabong, Datuk Ramzi Abdul Rahman berkata bagaimanapun sebanyak 39 RKB lagi masih dalam pembinaan dan dijangka dapat disiapkan Mei ini.

"Daripada 857 RKB tersebut, 500 daripadanya dibina atas tanah individu dan selebihnya dibina secara berkelompok. Jumlah kos keseluruhan ialah kira-kira RM63.643 juta," katanya.

Ramzi yang juga Ketua Bahagian UMNO Kuala Krai berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Kunci 40 Rumah Kekal Banjir Inisiatif Kerajaan Persekutuan di Kampung Peria, Manik Urai di sini hari ini.

Beliau berkata 39 RKB yang masih dalam pembinaan di tiga lokasi di sini, iaitu Kemubu, Manjor dan Sungai Durian, melibatkan peruntukan tambahan kerajaan Persekutuan sebanyak RM17 juta.

"Kelewatan ia disiapkan berikutan masalah pemilikan tanah sehingga kita (kerajaan) terpaksa membeli tanah di tiga kawasan terbabit untuk pembinaan rumah secara berkelompok," katanya.

Seorang penerima RKB, Halimah Tayib, 76, berkata beliau dan keluarganya gembira dengan pemberian rumah berkenaan selepas hampir dua tahun tinggal di rumah transit di Kampung Pahi di sini setelah kediaman mereka rosak akibat banjir 2014.

"Saya berterima kasih kepada kerajaan kerana prihatin terhadap musibah yang menimpa kami.

"Pembinaan rumah ini memberikan kelegaan dan keselesaan kepada kami yang sebelum ini terpaksa tinggal berhimpit di rumah transit," katanya.

Yusri Mat yusoff, 42, bersyukur dapat mendiami RKB yang selesa serta ternyata mengurangkan beban untuk mereka membina rumah sendiri.

"Untuk membina rumah baharu secara sendiri bagi saya mengambil masa lama atau mungkin tidak menjadi realiti memandangkan kos pembinaan tinggi dan saya serta isteri pula hanya penoreh getah berpendapatan kecil," katanya.

Sumber: Bernama | 19 Jan. 2017

Tiada ulasan:

Catat Ulasan