Keadaan tanah runtuh di Kilometer 392.5 antara Kuala Gris-Dabong menyebabkan perkhidmatan tren antara Kuala Krai dan Dabong dihentikan sementara. Foto ihsan: KTMB |
Tanah runtuh itu dikesan pada jam 9 malam Sabtu lalu di Kilometer 392.5, akibat hujan lebat ketika itu.
Pengurus Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Wilayah Timur, Zaid Ibrahim, berkata runtuhan tanah itu dikesan di lokasi sama dengan kejadian kali pertama pada 31 Disember lalu.
"Ia disebabkan hujan lebat ketika itu dan struktur tanah di situ masih belum kukuh berikutan tanah runtuh sebelum ini.
"Ketika kejadian juga, sebuah tren ekspres sedang menuju ke laluan terbabit namun terpaksa dihentikan di Stesen Bukit Abu, Kuala Krai," katanya ketika dihubungi hari ini.
Zaid berkata kerja pembaikan sudah dimulakan dan perkhidmatan tren dijangka pulih sepenuhnya pada Sabtu ini.
Dalam kejadian tanah runtuh pada 31 Disember lalu, kerja pembaikan termasuk menambun tanah berjalan lebih dua minggu dan perkhidmatan tren boleh digunakan bermula 17 Januari lalu.
Berikutan kejadian terbaharu ini, Zaid berkata perkhidmatan tren ulang-alik hanya beroperasi antara Tumpat-Kuala Krai-Tumpat.
Bagi Ekspres Timuran antara Tumpat-Johor Bahru-Tumpat, penumpang akan dibawa dengan tren khas ke Kuala Krai dan disambungkan dengan perkhidmatan bas ke Gua Musang sebelum meneruskan perjalanan ke Johor Bahru menggunakan tren dan begitu sebaliknya.
Sumber: Berita Harian | 23 Jan. 2017
Tiada ulasan:
Catat Ulasan