Fadillah (kanan) ketika merasmikan pejabat cawangan TM Tours and Travel cawangan Kuching, Ahad. |
KUCHING: Orang ramai perlu berhati-hati ketika memilih pakej umrah yang ditawarkan di bawah harga RM5,000 bagi mengelak penipuan.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, mereka perlu memilih syarikat pengendalian pelancongan dan agensi pengembaraan yang berdaftar dengan Tabung Haji dan Kementerian Pelancongan sahaja.
"Mana-mana agensi pelancongan yang menawarkan pakej umrah kurang daripada RM5,000 boleh diragui. Amat malang ramai juga yang terjebak, terperangkap dengan agensi pelancongan yang tidak bertanggungjawab ini.
"Saya berharap selepas ini jemaah khususnya dari Sarawak dan Malaysia amnya akan lebih berhati-hati," katanya.
Fadillah, yang juga Anggota Parlimen Petra Jaya, berkata demikian dalam ucapan ketika merasmikan pembukaan pejabat TM Tours and Travel Cawangan Kuching di sini, Ahad.
Turut hadir Pengarah Urusan TM Tours and Travel, Mohd Ridzwan Abdullah dan Pengurus Besar TM Tours and Travel Sarawak Azmi Shaari.
Mengulas mengenai pembukaan cawangan baru TM Tours and Travel itu, Fadillah berkata syarikat tersebut diyakini mampu memberi kepuasan kepada pelanggan menerusi tawaran pakej haji, umrah mahupan ke destinasi lain berdasarkan pengalaman serta rekod yang baik.
Sementara itu Mohd Ridzwan menyatakan komitmen syarikat tersebut untuk membawa pelancong luar ke Sarawak dan pada masa yang sama membawa penduduk negeri ini ke serata dunia menerusi penawaran pelbagai pakej mereka.
"Kami boleh disifatkan sebagai antara pengendali pelancongan muslim yang tersohor dan dikenali ramai kerana turut menyediakan servis percutian, pengangkutan, majlis, pengurusan, inap desa, program persekolahan, percutian musim panas untuk pelancong domestik dan antarabangsa.
"Dengan matlamat mahu menyediakan servis dan produk pengembaraan kami sentiasa menitikberatkan keperluan dan nilai yang bakal diperoleh pelanggan ketika melancong bersama-sama TM Tours and Travel," katanya.
TM Tours and Travel ditubuhkan pada 1991 mempunyai dua cawangan di Kuala Lumpur serta masing-masing satu di Bangi dan Kota Bharu menawarkan khidmat pelancongan tempatan dan antarabangsa, pembelian tiket penerbangan serta pakej umrah dan haji.
Sumber: Bernama | 8 Jan. 2017
Tiada ulasan:
Catat Ulasan