GUA MUSANG: Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) sedang berusaha membawa keluar 462 pelajar Orang Asli dari 20 kampung di pedalaman daerah ini yang tidak dapat keluar ke sekolah, secepat mungkin.
Ketua Pengarahnya, Mohd Jamalludin Kasbi berkata masalah utama pelajar terbabit terkandas di kampung masing-masing disebabkan jalan rosak dan jambatan runtuh akibat hujan lebat musim tengkujuh sejak dua minggu lepas.
"Inisiatif itu bagi mengelakkan pelajar terbabit ketinggalan pelajaran kerana tidak dapat hadir ke sekolah sejak sesi persekolahan 2017 bermula Ahad lepas," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan makanan kepada 73 keluarga Orang Asli yang menjadi mangsa banjir di Kampung Pasir Linggi, Pos Lebir di sini, hari ini.
Kebanyakan pelajar terbabit dari sekolah menengah dan sekolah rendah di Kuala Betis di sini.
Mohd Jamalludin berkata pihaknya juga akan mendapatkan kerjasama Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bagi mempercepatkan proses membawa keluar pelajar terbabit.
Beliau berkata masalah jalan rosak dan jambatan runtuh itu berlaku setiap kali musim tengkujuh.
"Jalan dan jambatan yang rosak akan dibaik pulih dalam tempoh terdekat untuk kemudahan masyarakat tersebut melakukan tugasan harian mereka termasuk untuk ke bandar Gua Musang dan destinasi lain," katanya.
Sumber: Bernama | 6 Jan. 2017
Tiada ulasan:
Catat Ulasan