KOTA BHARU: Beberapa mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan banjir di Sekolah Kebangsaan (SK) Tiong mula resah berikutan banjir yang lambat surut di kawasan terbabit.
Seorang mangsa, Zaki Daud, 47, yang berasal dari Kampung Pasir Hor berkata, sejak kawasan itu ditenggelami air sedalam kira-kira dua meter (m) sejak Khamis lepas, ia hanya surut sekitar 0.4m sehingga hari ini.
"Banjir kali ini lebih teruk berbanding banjir besar 2014. Ketika banjir besar 2014 itu, rumah saya hanya ditenggelami air pada paras buku lali sahaja kerana terletak di tempat tinggi, namun kali ini air masuk hingga paras pinggang.
"Saya percaya hujan lebat berterusan serta air di sungai yang tidak dapat keluar ke muara menyebabkan ia bertakung di sini," katanya kepada Bernama ketika meninjau keadaan rumahnya di Kampung Pasir Hor di sini, Ahad.
Zaki yang juga kakitangan Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) berkata berikutan itu, beliau terpaksa menggunakan perahu yang diperbuat daripada tong untuk berulang-alik dari tebing ke rumahnya sejauh kira-kira 250m.
"Itulah yang saya lakukan beberapa kali pada setiap hari untuk tengok keadaan rumah kerana bimbang dimasuki pencuri berikutan rumah terletak di tepi jalan," katanya.
Seorang lagi mangsa, Tuan Ibrahim Tuan Bongsu, 40, turut melahirkan kebimbangan sama, dan berharap hujan tidak lagi berlaku dalam tempoh terdekat agar banjir cepat surut.
Beliau yang mula berpindah ke SK Tiong pada Jumaat lepas berkata setakat ini banjir di kawasan tersebut lambat surut.
"Dulu air banjir mudah surut tetapi kini saya percaya laluan air tersekat dan melambatkan proses untuk surut. Saya bimbang jika hujan lebat sekali lagi sudah pasti air akan masuk sekali lagi ke dalam rumah," katanya.
Sumber: Bernama | 22 Jan. 2017
Tiada ulasan:
Catat Ulasan