Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi |
JOHOR BAHRU: Kerajaan meluluskan sebanyak RM800 juta untuk melaksanakan dua projek penyelesaian jangka panjang masalah banjir di Kelantan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Menurut beliau, daripada peruntukan itu, sebanyak RM300 juta disediakan untuk projek tebatan banjir fasa pertama di Sungai Golok.
Projek tersebut yang dipertanggungjawabkan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dijangka dilaksanakan pada Jun tahun ini, kata beliau kepada pemberita di sini Jumaat.
"Projek seterusnya pula sedang direka bentuk oleh JPS di bawah fasa kedua bagi memastikan isu banjir diatasi bagi tempoh jangka panjang," katanya.
Ahmad Zahid berkata peruntukan selebihnya melibatkan RM500 juta pula diberi untuk projek pengorekan muara Sungai Kelantan dan pembinaan tambak di sungai terbabit.
Terdahulu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri, menziarahi pesara komando tentera, Abu Bakar Md Ahmad, 66, yang menghidap strok sejak dua bulan lalu, di kediaman pesara itu di Taman Bukit Senang, Senai, dekat sini.
"Pelaksanaan dua projek besar itu sebagai usaha mengurangkan risiko banjir akibat limpahan air Sungai Kelantan dan kita menjangkakan projek siap tidak lebih daripada lima tahun," kata Ahmad Zahid.
Ahmad Zahid, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara, berkata kerajaan juga mengesyorkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NaDMA) supaya membuat penilaian kerosakan sosioekonomi fasa awal bagi rakyat yang terjejas banjir sejak akhir Disember tahun lalu sehingga minggu pertama bulan ini.
Beliau berkata penilaian itu akan membantu rakyat yang terkesan akibat banjir dan dijalankan secara bersama antara agensi pusat lain seperti Kementerian Kewangan, Unit Perancang Ekonomi dan Jabatan Pendidikan Negeri.
"Aspek ini adalah sebagai langkah segera yang perlu diberi keutamaan bagi memastikan rakyat yang terjejas punca pendapatan sama ada daripada aktiviti ekonomi dan pekerjaan, masing-masing dapat dipulihkan dengan bantuan yang wajar," katanya.
Ahmad Zahid berkata bantuan wang ehsan juga akan diselaraskan oleh NaDMA dengan kerjasama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan Jabatan Kebajikan Masyarakat berdasarkan pusat pemindahan banjir mengikut zon.
Dalam isu lain, Ahmad Zahid berharap agar semua bantuan dan peruntukan yang disediakan kerajaan pusat untuk menangani masalah banjir itu, dapat diterima baik oleh kerajaan negeri Kelantan.
Katanya biarpun negeri itu ditadbir oleh pembangkang yang berlainan fahaman politik, ia tidak seharusnya menjadi penghalang kepada kedua-dua pihak untuk bekerjasama, lebih-lebih lagi dalam pelaksanaan projek pembinaan tebatan dan tambakan di Sungai Golok dan Sungai Kelantan.
"Kajian telah dilakukan oleh JPS tetapi kami mahukan kolaborasi kerajaan negeri kerana kadang-kadang ia melibatkan soal pengambilan tanah dan hal ehwal tanah adalah di bawah kerajaan negeri, maka kerjasama adalah untuk menyegerakan kerja-kerja perundangan yang mengambil masa yang lama," katanya.
Dalam pada itu, beliau menyifatkan projek tambakan di Sungai Kelantan tidak akan menampakkan hasil yang nyata sekiranya pembalakan di kawasan sekitar masih berterusan, sehingga membawa hakisan seperti batu-batan ke kawasan sungai.
Berkenaan isu kekurangan bekalan makanan terutama ikan sepanjang musim tengkujuh sekarang pula, Ahmad Zahid berkata pihaknya telah mengadakan perbincangan bersama Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia bagi memastikan stok barangan itu mencukupi.
"Namun begitu, umumnya kita tahu harga akan meningkat kerana permintaan melebihi penawaran, tetapi kita akan cuba seadaya upaya untuk melakukan penyelarasan harga agar tidak membebankan pengguna," kata beliau.
Sumber: mStar Online | 6 Jan. 2017
Tiada ulasan:
Catat Ulasan