KOTA BHARU: Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian hari ini menerima sebuah van mesra orang kelainan upaya (OKU) untuk memudahkan pesakit miskin dan OKU berulang-alik secara percuma semasa mendapatkan rawatan di hospital itu.
Van bernilai RM152,000 itu adalah sumbangan kerajaan Kelantan bagi mengurangkan beban perbelanjaan yang ditanggung pesakit miskin termasuk OKU ketika mendapatkan rawatan di HUSM.
Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob berkata van tersebut diubah suai seiring dengan keperluan pesakit yang uzur dan kurang upaya.
"Kita dapat tahu sebelum ini ada pesakit terpaksa mengeluarkan perbelanjaan tambang sehingga RM70 untuk sekali datang ke hospital dan itu sudah pasti membebankan mereka," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan van tersebut kepada HUSM di sini.
Sementara itu, Pengarah Kampus Kesihatan USM Kubang Kerian Dr Ahmad Sukari Halim berkata sumbangan van tersebut amat bermakna khususnya kepada pesakit yang benar-benar tidak berkemampuan.
"Ada ribuan pesakit yang memerlukan rawatan setiap hari dan dengan adanya van seumpama ini sudah pasti dapat membantu golongan sasar," katanya.
Sumber: Bernama | 25 Jan. 2017
Tiada ulasan:
Catat Ulasan