Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Isnin, 31 Julai 2017

Rumah PPR Kelantan harga hanya RM35,000


Mustapa Mohamed (tiga dari kiri) meninjau Projek Perumahan Rakyat di Wakaf Mek Zainab, Kota Bharu, Kelantan, semalam. Rumah tersebut dijual dengan harga RM35,000 seunit berbanding kos asalnya sebanyak RM188,000.
KOTA BHARU: Pembeli rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) di negeri ini hanya perlu membayar RM35,000 untuk setiap unit kediaman tersebut selepas Kerajaan Pusat memperuntukkan subsidi lebih RM150,000.

Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, kos pembinaan untuk setiap unit rumah tersebut ialah sebanyak RM188,600 bagaima­napun harga pasaran untuk kediaman yang sama dianggarkan antara RM200,000 sehingga RM300,000.

Katanya, kekurangan perumahan kos rendah di negeri ini me­rupakan isu besar apabila Kerajaan Pas Kelantan lebih fokus membina kondominium mewah yang harganya di luar kemampuan khususnya bagi golongan berpendapatan rendah.

“Usaha kerajaan Pusat membina projek perumahan rendah ini dapat memenuhi sebahagian daripada permintaan. Kota Bharu khususnya kita dapati permintaan cukup tinggi.

“Kita juga akan meminta kerajaan menambah pembinaan projek PPR di Kelantan. PPR yang dijual dengan harga rendah itu mampu membantu kebanyakan rakyat di negeri ini,” katanya kepada pemberita selepas meninjau status pelaksanaan PPR Kota Bharu di sini hari ini.

Tambah Mustapa yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, setakat ini, Kerajaan Pusat telah membelanjakan sebanyak RM554.5 juta bagi me­laksanakan enam projek perumahan kos rendah di daerah Kota Bharu, Gua Musang, Jeli, Tanah Merah dan Machang.

Malah ujarnya, kerajaan turut meluluskan dua lagi projek pembinaan rumah kos rendah iaitu di Ketereh dan Pasir Mas dengan melibatkan peruntukkan seba­nyak RM87 juta.

“Pada masa ini, enam projek tersebut telah berjalan dengan PPR di Gua Musang telah siap, Kota Bharu dijangka siap September ini, manakala di Ayer Lanas, Batang Merbau dan Machang dalam proses pembinaan,” katanya.

Sementara itu, katanya, pembinaan PPR Kota Bharu yang bernilai RM188.6 juta akan memberikan manfaat kepada 1,000 keluarga di bandar ini.

Katanya, bagaimanapun, pe­nghuni dijangka boleh menduduki rumah tersebut pada April tahun depan kerana terdapat beberapa perkara seperti pendawaian elektrik yang masih dalam proses pemasangan.

“Pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan melakukan kerja-kerja menyediakan bekalan elektrik pada akhir tahun ini. Secara keseluruhan kerja-kerja perlaksanaan PPR tersebut berjalan lancar.

Golongan yang layak membeli 1,000 unit rumah tersebut ialah mereka yang berpendapatan bawah RM3,000, berkeluarga dan tidak mempunyai rumah sendiri,” katanya yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Sumber: Utusan Malaysia | Nasional | 30 Julai 2017 | Terbitan 31 Julai 2017

Ibu tiri Yaya dipenjara, denda RM15,000

Nur Zuliana Zaara Zulkifli atau Yaya kelihatan ceria bersama ibu kandungnya, Sana Abdul Malek di Mahkamah Sesyen Pasir Mas, semalam.
PASIR MAS: Kisah duka Nur Zuliana Zaara Zulkifli atau Yaya yang menjadi mangsa dera ibu tiri serta bapa kandungnya sehingga patah 13 tulang di seluruh badan dua tahun lalu sampai ke penghujungnya hari ini.

Penderitaan yang dihadapi oleh Yaya terbalas, apabila ibu tirinya dikenakan hukuman penjara empat tahun dan denda RM15,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas didapati bersalah atas dua pertuduhan mencederakan dan menganiaya kanak-kanak itu.

Hakim Dazuki Ali menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Rahayu Hassan, 26, selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir pembelaan kes berkenaan.

Dalam masa yang sama, beliau turut memerintah bapa kandung Yaya, Zulkifli Che Othman, 41, didenda sebanyak RM12,000 selepas didapati bersalah atas pertuduhan mengabaikan anaknya.

Bagaimanapun, mahkamah mem­­­benarkan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara terhadap Rahayu dengan syarat jaminan terhadapnya dinaikkan kepada RM30,000 selain tertuduh perlu menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah sehingga kes rayuan di Mahkamah Tinggi selesai.

Selain itu, Rahayu juga wajib melaporkan diri di Balai Polis Rantau Panjang sebulan sekali.

Mengikut pertuduhan pertama, peniaga kosmetik tersebut didakwa telah menyebabkan kecedeaan parah kepada Nur Zuliana yang ketika kejadian berusia lima tahun di sebuah rumah di Lot 2071, Kampung Bagus Rantau Panjang antara Januari hingga Mei 2015.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa telah menganiaya hingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal dan emosi pada tempat serta masa yang sama.

Ibu kepada seorang anak yang berusia tiga tahun itu didakwa mengikut Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang boleh dihukum denda maksimum RM20,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali dan Sek­syen 325 Seksyen Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Idham Abd Ghani yang mencadangkan agar hukuman berat dikenakan terhadap pasangan suami isteri itu supaya memberi pengajaran kepada ibu bapa atau penjaga lain agar tidak melakukan perbuatan sedemikian.

Selain itu, katanya, mahkamah perlu mengambil kira trauma yang dialami mangsa akibat daripada kejadian tersebut.

Dalam pada itu, peguam bela yang mewakili kedua-dua tertuduh, Datuk Shukri Mohamed merayu agar anak guamnya dikenakan hukuman denda sahaja atas alasan hukuman penjara adalah tidak sesuai meskipun kes ini telah mendapat liputan meluas media massa.

Kejadian dera membabitkan Yaya terbongkar selepas ibu kan­dungnya yang mengambil alih hak penjagaan mendapati badan kanak-kanak itu dipenuhi parut dan kesan lebam, selain keadaan fizikalnya yang lemah. 

Sumber: Utusan Malaysia | Mahkamah | 30 Julai 2017 | Terbitan 31 Julai 2017

Jumaat, 28 Julai 2017

Masjid Brunei mercu tanda 'tersembunyi' di Danau Tok Uban


Masjid Brunei yang tersergam indah di Tasik Danau Tok Uban antara mercu tanda tersembunyi di kawasan Chetok, Pasir Mas, Kelantan.
PASIR MAS: Masjid Brunei yang tersergam indah di Tasik Danau Tok Uban di sini merupakan antara mercu tanda ‘tersembunyi’ di kawasan Chetok.

Mana tidaknya, masih ada dalam kalangan penduduk di kawasan sekitar bahkan di nege­ri ini tidak mengetahui kewujudan masjid berkenaan yang mempunyai pemandangan cantik terutama setiap kali matahari terbenam.

Sementara itu, seni binanya yang bercirikan Asia Barat serta Melayu Brunei yang klasik, di samping warnanya yang putih bersih berjaya menarik perhatian sesiapa sahaja yang melalui kawasan tersebut.

Meskipun terletak agak jauh di kawasan pedalaman, masjid berkenaan tidak pernah sunyi dengan kegiatan keagamaan.

Masjid yang tersergam indah di tepi Tasik Danau Tok Uban tersebut digunakan oleh pelajar sebuah maahad tahfiz sebagai lokasi untuk mereka mendalami ilmu agama.

Pada waktu pagi dan petang penduduk di sekitar kawasan berkenaan pasti akan terde­ngar alunan merdu ayat suci al-Quran yang dilontarkan oleh para pelajar tersebut.

Seorang penduduk, Osman Hussain, 74, berkata, pembina­an masjid itu merupakan lambang persahabatan utuh antara bekas Menteri Besar sekitar tahun 70-an, Datuk Muhamed Nasir de­ngan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah.

Menurutnya, hubungan erat itu diterjemahkan menerusi pembinaan bangunan masjid yang kosnya dibiayai sepenuh­nya oleh baginda.

“Hubungan Muhamed de­ngan Sultan Brunei cukup rapat dan beliaulah yang bertang­gungjawab merealisasikan pem­binaan masjid berkenaan.

“Selain itu, Sultan Brunei turut memberi perkenan membina sebuah maahad tahfiz di kawasan tasik berkenaan,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Osman memberitahu, sebagai penduduk Chetok pembinaan masjid itu merupakan satu kebanggaan kepada mereka yang tinggal berhampiran kawasan tersebut.

Katanya, masjid berkenaan kini digunakan sepenuhnya oleh pelajar mahaad tahfiz untuk mendalami ilmu agama.

“Saya difahamkan operasi pe­ngurusan pusat pengajian yang kini digelar Maahad Tahfiz Tok Uban berkenaan disumbangkan secara terus oleh Sultan Brunei,” katanya.

Sumber: Utusan Malaysia | Wilayah - Kelantan | 27 Julai 2017 | Terbitan 28 Julai 2017

Projek akuakultur berpotensi tinggi di Kelantan

Ismail Abu Hassan (empat dari kiri) bersama sebahagian daripada penternak ikan sangkar menunjukkan isyarat bagus sewaktu Program Perundingan Industri Akuakultur Peringkat Negeri Kelantan di Kota Bharu, kelmarin.
KOTA BHARU: Kelantan menunjukkan potensi besar dalam industri penternakan ikan dalam sangkar (akuakultur) dengan penyertaan penternak kini melebihi 1,000 orang meliputi kawasan ternakan seluas 280 hektar.

Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Ismail Abu Hassan berkata, sehingga pertengahan tahun ini, penternak di negeri ini telah memungut kira-kira 4,000 tan metrik ikan sangkar pelbagai spesies seperti kerapu hybrid, siakap, keli, tilapia dan patin yang mendapat sambutan tinggi di pasaran.

Beliau berkata, pihaknya me­nyasarkan hasil ikan sangkar di negeri ini boleh mencecah sehingga RM30 juta tahun ini berban­ding RM21 juta tahun lalu yang terjejas akibat fenomena El Nino.

“Kita perlu berusaha tingkatkan pengeluaran kerana tidak mahu lagi terpaksa bergantung kepada ikan import dari Thailand.

“Potensi bidang akuakultur di negeri ini sangat besar kerana ia mempunyai kelebihan dari sudut keluasan kawasan penternakan, sumber air dan sebagainya, ha­nya kita memerlukan penyertaan lebih ramai pengusaha manakala pengusaha yang sedia ada mening­katan hasil pengeluaran mereka.

“Aktiviti penternakan ikan juga dapat meningkatkan pendapatan dan taraf hidup golongan nelayan tradisi menangani ketidakstabilan punca pendapatan pada musim tengkujuh,” katanya kepada pemberita di Program Perundingan Industri Akuakultur Peringkat ne­geri di PCB Resort di sini semalam.

Yang turut hadir, Pengarah Kanan Bahagian Biosekuriti Perikanan, Dr. Marzuki Hashim; Pe­ngarah Kanan Bahagian Pemba­ngunan Latihan dan Kemajuan Kerjaya, Abd. Khalil Abd. Karim dan Pengarah Perikanan negeri, Anuar Salam Sulaiman.

Pada majlis itu, Ismail turut me­nyampaikan Bantuan Wang Ihsan sebanyak RM73,900 kepada 150 pengusaha ikan sangkar yang terjejas akibat fenomena El Nino tahun lalu.

Sementara itu, Ismail berkata, beliau berbangga kerana pendaratan ikan pantai dan laut dalam di negeri ini meningkat dengan drastik dalam tempoh sedekad daripada hanya sekitar 62,000 tan metrik pada 2004 kepada 218,800 tan metrik tahun lalu.

“Ini adalah hasil daripada inisiatif jabatan memperketatkan syarat lesen serta memperkukuh system pendaratan ikan di pelabuhan perikanan utama melalui pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) dan penggunaan pas keluar masuk vesel laut dalam,” katanya.

Dalam pada itu, salah seorang penerima bantuan wang ihsan, Siti Maryam Kang, 68, berkata, bantuan Kerajaan Persekutuan itu sangat diperlukan apatah lagi dia mengalami kerugian lebih RM45,000 setelah kesemua 27 sangkar ikannya di Pantai Tujuh, Tumpat musnah akibat banjir.

Sumber: Utusan Malaysia | Wilayah - Kelantan | 27 Julai 2017 | Terbitan 28 Julai 2017

9 wat Siam di Tumpat diwartakan

Datuk Ahmad Yakob (kanan) menyampaikan sijil pewartaan wat sebagai tapak rekreasi dan kebudayaan masyarakat Siam kepada salah seorang sami di Wat Pikulthong di Tumpat hari ini.
TUMPAT: Kerajaan Pas Kelantan hari ini mewartakan sembilan buah wat Siam di sekitar daerah ini sebagai tapak rekreasi dan kebudayaan masyarakat tersebut.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, pewartaan itu bertujuan mengiktiraf kawasan rumah ibadat tersebut supaya tidak diganggu gugat mana-mana pihak pada masa depan.

Langkah itu kata beliau, merupakan kesinambungan inisiatif bekas menteri besar, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang sejak sekian lama berusaha membela nasib masyarakat Siam.

“Di Tumpat terdapat 12 wat dan selepas melalui proses yang cukup panjang, kita berjaya mewartakan sembilan daripadanya. Baki tiga lagi wat juga akan diwartakan dalam masa terdekat.

“Inisiatif kerajaan negeri ini membuktikan hubungan harmoni antara kaum dan agama telah lama wujud di Kelantan. Kita harap perkara ini menjadi contoh kepada dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan penyampaian warta sembilan tapak wat kepada Majlis Sangha Negeri Kelantan di Wat Pikulthong, di sini hari ini.

Sumber: Utusan Online | Nasional | 27 Julai 2017