TUMPAT: Kekurangan sumber air di kawasan terbuka seperti sungai dan tali air berikutan cuaca panas akibat fenomena El Nino, mendatangkan masalah kepada bomba untuk memadamkan kebakaran.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan Azmi Othman berkata banyak kawasan takungan air atau parit di negeri ini kini kering dan menyukarkan bomba dalam melaksanakan tugas khususnya pada waktu puncak iaitu sebelah petang atau menjelang Maghrib.
Bomba biasanya menggunakan lori tangki yang berkapasiti 20,000 liter sebuah sekiranya tiada bekalan sumber air terbuka di lokasi kebakaran, katanya kepada pemberita selepas meninjau kerja menyiapkan sebuah rumah sumbangan JBPM Kelantan kepada keluarga mangsa banjir 2014 di Kampung Pulau Chendol di sini, hari ini.
Azmi berkata tekanan air pada pili bomba biasanya berkurangan pada waktu puncak, oleh itu pihaknya memerlukan penggunaan sumber air terbuka.
"Dalam keadaan sekarang ini, kita lihat sejak April dan dijangka sehingga Jun ini, cuaca panas akan berterusan mungkin menyebabkan lebih banyak kolam takungan atau parit kering," katanya.
Beliau berkata pihaknya akan cuba mengatasi masalah bekalan air itu dengan kerjasama pelbagai pihak berkaitan seperti pihak berkuasa tempatan dan agensi lain untuk menyumbangkan tangki air sebagai persediaan jika berlaku kebakaran.
Katanya JBPM Kelantan kini mempunyai tujuh lori tangki yang boleh memuatkan air berjumlah 140,000 liter.
"Memang bekalan itu mencukupi bagi memastikan kerja memadamkan api berjalan lancar tetapi kita lebih suka sekiranya ada sumber air terbuka.
Sementara itu, Azmi berkata sejak awal Januari sehingga kini, sebanyak 1,003 kes kebakaran struktur bangunan dan kawasan terbuka termasuk hutan, direkodkan pihaknya.
Katanya bagi pembakaran terbuka akibat kecuaian manusia, kawasan yang terbabit dianggarkan seluas 510 hektar di seluruh negeri ini.
"Bagi kebakaran struktur sebanyak 55 kes dicatatkan sehingga kini dengan jumlah kerugian sebanyak RM5.4 juta manakala jumlah yang berjaya diselamatkan adalah sebanyak RM7.6 juta," katanya.
Mengenai sumbangan rumah kepada Nurhisyam Kamaruddin, 29, itu adalah bagi membantunya hidup lebih ceria bersama isteri, Siti Nuramirah Mohd Basri serta tiga anak mereka.
Pembinaan rumah hasil usahasama JBPM Kelantan, Kelab Media Kelantan Darulnaim (KEMUDI) dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) itu dijangka siap menjelang Aidilfitri ini.
Sumber: Bernama | 5 Mei 2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan