PATTANI: Pemandu dan kelindan maut apabila lori membawa minyak diesel dinaiki mereka terbabas sebelum terbakar dalam kemalangan di Jalan Asia 18 Pattani-Narathiwat di Kampung Kubang Badak, Saiburi, di sini, hari Sabtu.
Ketua Polis Daerah Saiburi, Kol (Pol) Paranya Karawa-ranan berkata kemalangan pada 11.40 pagi itu mengorbankan pemandu lori, Dulloh Sapiding, 45, dan adiknya Muhamad Jafri Sapiding, 26.
"Lori itu hilang kawalan dan terbabas selepas salah satu tayar depannya pecah, menyebabkan lori itu terbakar dan mengorbankan kedua beradik itu," katanya kepada pemberita di sini.
Tiga buah kenderaan bomba dikejarkan ke lokasi kejadian dan mengambil masa sehingga satu jam untuk memadamkan kebakaran, katanya dan menambah, mayat kedua beradik itu ditemui dalam keadaan rentung.
Menurutnya, mayat kedua-dua beradik yang berasal dari Narathiwat itu dihantar ke Hospital Somdej Prayuparat, Saiburi, untuk dibedah siasat sebelum dituntut oleh anggota keluarga untuk dikebumikan.
Sumber: Bernama | 21 Mei 2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan