Sebahagian penduduk Pulau Kundor turut menceritakan pengalaman mereka dalam bencana ombak besar Januari lalu kepada Baharuddin (berdiri). |
KOTA BHARU: Penduduk di sekitar Pantai Pulau Kundor, Jalan Pantai Cahaya Bulan (PCB) di sini mengharapkan dapat menduduki kediaman baharu yang dijanjikan oleh pihak berwajib selepas rumah mereka rosak akibat fenomena ombak besar yang melanda sejak akhir Januari lalu.
Mek Jah Yaacob, 55, berkata, sepanjang lebih 30 tahun tinggal di kawasan itu, bencana ombak besar Januari lalu merupakan yang terburuk dialaminya serta lebih 17 keluarga lain.
“Kami mengharapkan kediaman yang dijanjikan pihak berwajib dapat diduduki pada bulan Ramadan nanti, memandangkan rumah sebelum ini tidak dapat lagi dibaiki ekoran hempasan ombak besar yang memusnahkan sebahagian ruang tamu dan dapur rumah.
“Jika rumah baharu dapat didiami dapatlah kami membuat persiapan sempena menyambut kedatangan Ramadan dan seterusnya persiapan untuk perayaan Aidilfitri nanti,” katanya kepada Sinar Harian di sini.
Mek Jah yang mempunyai 18 cahaya mata itu, kini terpaksa tinggal berhimpit-himpit di kediaman usang yang merupakan peninggalan tanah pusaka keluarga.
“Lagipun pendapatan suami sebagai nelayan, tidak menentu dan perlu menyara sembilan lagi anak-anak yang masih kecil dan bersekolah manakala selebihnya telah berumah tangga dan mempunyai keluarga sendiri,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi penduduk, Hanifa Umat, 52, berkata, sebagai penduduk yang turut mengalami pengalaman kediaman dihempas ombak, dia berharap kediaman baharu itu dapat didiami secepat mungkin.
“Keadaan rumah saya kini tidak dapat dibaiki lagi, ekoran bencana ombak besar yang menenggelamkan hampir separuh dari rumah saya.
“Begitu juga keadaan pantai yang makin lama hampir dengan rumah dan jaraknya hampir 20 meter sahaja berbanding 100 meter sebelum ini," katanya.
Terdahulu, 17 keluarga yang terlibat dalam bencana ombak besar itu, menerima kunjungan Pengasas Pusat Rawatan Al-Qalam, Datuk Seri Baharuddin Abu bersama rombongan yang turut menyampaikan sumbangan beras dan bantuan kewangan kepada penduduk terlibat.
Turut hadir sama, Presiden Angkatan Generasi Melayu Muda (Agenda), Mohamad Zaidan Abdul Rahim.
Baharuddin berkata, beliau merasa terpanggil untuk melihat sendiri keadaan keluarga yang terlibat dan menyampaikan sumbangan.
“Diharapkan sumbangan yang disampaikan dapat meringankan beban yang ditanggung keluarga yang terlibat.
“Usaha membantu golongan memerlukan juga turut diberi keutamaan dan kita tidak hanya tumpu kepada perawatan sahaja dan mengharapkan lebih ramai pihak badan bukan kerajaan (NGO) bersama Pusat Rawatan Al-Qalam dalam misi membantu golongan asnaf,” katanya.
Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 15 Mei 2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan