Gambar fail Zulkalnain (tengah) pada sidang media yang diadakan minggu lalu. |
PETALING JAYA: Wakil kakitangan Rayani Air kecewa apabila pemilik syarikat penerbangan itu, Ravi Alagendrran didakwa masih gagal melunaskan tunggakan gaji pekerja walaupun selepas melanjutkan tempoh untuk berbuat demikian sehingga Jumaat.
Pengurus Stesen Rayani Air di Terminal KLIA 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Zulkalnain Azdan berkata, sikap tidak bertanggungjawab Ravi memberi kesan kepada kakitangan dan keluarga mereka.
Beliau berkata, tuntutan sebulan gaji untuk Mac lalu kini masih menjadi tanda tanya sedangkan pekerja sepatutnya menerima gaji berikutnya pada akhir April.
"Kami beri tempoh sehingga semalam (Jumaat) tetapi masih belum terima gaji Mac. Sekarang sudah tertunggak dua bulan termasuk gaji April.
"Kami kecewa kerana sehingga sekarang masih tidak dibayar gaji. Tolonglah fikir nasib kami yang ada keluarga, ada anak-anak yang perlu ditanggung, ada komitmen yang perlu dibayar," katanya kepada mStar Online pada Sabtu.
Zulkalnain berkata, pihaknya kini dalam proses rundingan bersama peguam untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Ravi di atas kegagalan melunaskan tunggakan gaji pekerja.
Minggu lalu, Zulkalnain bersama sejumlah kakitangan Rayani Air membuat tuntutan mengenai gaji tertunggak bagi Mac untuk kira-kira 400 pekerja yang berjumlah RM1.5 juta dan tempoh diberikan sehingga Selasa.
Bagaimanapun tempoh berkenaan kemudiannya dilanjutkan sehingga Jumaat.
Sumber: mStar Online | 30 Apr. 2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan