PASIR PUTEH: Fenomena El Nino yang melanda negara sejak Januari lalu tidak begitu memberi kesan terhadap industri pelancongan di Kelantan.
Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Pelancongan dan Warisan Kelantan, Datuk Mohd Anizam Abdul Rahman berkata setakat ini, seramai 1.5 juta pelancong telah melawat negeri itu sejak Januari lepas.
"Antara tempat paling kerap dikunjungi adalah kawasan tinggi seperti Gunung Stong di Kuala Krai, dan kawasan sungai iaitu Jeram Pasu di Pasir Puteh serta Jeram Linang di Machang.
"Namun Pantai Bisikan Bayu di Pasir Puteh, Pantai Irama di Bachok dan Pantai Cahaya Bulan di Kota Bharu kurang dikunjungi kerana terkesan dengan fenomena tersebut," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kayuhan Muhibah di Tok Aman Bali di sini, hari ini.
Seramai 420 peserta yang diketuai Setiausaha Kerajaan Kelantan Datuk Ahmad Faudzi Che Mamat menyertai kayuhan basikal sejauh 120 kilometer dari Tok Aman Bali ke Batu Buruk, Terengganu.
Mohd Anizam juga berkata pihaknya yakin mampu mencapai sasaran enam juta pelancong ke Kelantan pada tahun ini.
Sumber: Bernama | 30 Apr. 2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan