Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Rabu, 18 Mei 2016

UTC Terengganu dibuka Jun depan

KUALA TERENGGANU: Pusat Transformasi Bandar (UTC) yang terletak di Menara Berkembar PB Square, milik Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) dijangka siap dan mula beroperasi pada 13 Jun depan.

Pengurus Besar PMINT Datuk A Rahman Yahya berkata, UTC bertempat di Tingkat 14 di Kompleks PB Square, dibangunkan dengan peruntukan kira-kira RM40.9 juta daripada Kerajaan Persekutuan melibatkan keluasan 7,525 meter persegi dan kini sudah siap kira-kira 81 peratus.

"Apabila siap sepenuhnya nanti UTC akan menjadi pusat khidmat setempat dan ia akan menempatkan lebih 30 jabatan dan agensi Kerajaan Persekutuan dan negeri antaranya Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Pejabat (Jabatan) Pendaftaran Negara (JPN), Klinik 1Malaysia, Pejabat Belia dan Sukan, Pejabat Pembangunan Wanita, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) dan sebagainya.

Jabatan-jabatan itu akan beroperasi bermula 8.30 pagi hingga 10 malam bagi memberi kemudahan kepada orang ramai untuk menyelesaikan pelbagai urusan mereka," katanya ketika ditemui Bernama di sini hari ini.

A Rahman berkata, PMINT akan meneruskan projek pembangunannya yang lain seperti membina rumah-rumah kediaman dan rangkaian ruang niaga bagi memberi peluang kepada rakyat negeri itu memiliki rumah kediaman serta merancakkan pertumbuhan ekonomi.

Katanya, yang terbaru PMINT akan membina 12 unit rumah kedai masing-masing enam di Kampung Wakaf tengah, Kuala Nerus dan di Kampung Bukit dekat sini melibatkan peruntukan kira-kira RM2.7 juta.

Beliau berkata, projek itu akan dibuka tendernya tidak lama lagi dan kerja-kerja pembinaannya dijangka bermula tidak lama lagi dan siap dalam tempoh setahun.

A Rahman berkata, PMINT juga akan membaik pulih projek 90 unit rumah kedai di Bandar Baru Kerteh, Kemaman, yang melibatkan peruntukan kira-kira RM3.9 juta.

"Sebenarnya projek itu projek lama yang masih belum mendapat sijil kediaman. Jadi kita akan ubahsuai mengikut kehendak Jabatan Bomba dan Penyelamat bagi mendapatkan sijil kediaman," katanya.

Sumber: Bernama | 17 Mei 2016

Tiada ulasan:

Catat Ulasan