Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Ahad, 22 Mei 2016

25,000 warga Tanah Merah bakal terima sumbangan

Ikmal Hisham Abdul Aziz menyampaikan sumbangan beras dan cadar kepada ahli-ahli Persatuan Ibu Tunggal Tanah Merah (Ummul Habibah) dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Gual Ipoh di Sekolah Kebangsaan (SK) Ipoh, Tanah Merah, Kelantan, semalam.
TANAH MERAH: Lebih 25,000 warga daerah ini bakal menikmati pelbagai bantuan serta sumbangan yang disampaikan UMNO Bahagian Tanah Merah sempena Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Ikmal Hisham Abdul Aziz berkata, sumbangan secara menyeluruh itu dibahagikan mengikut beberapa kategori.

“Seperti tradisi kita sebelum ini, apabila menjelang Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri, kita akan mula memberi pelbagai bentuk sumbangan termasuk mengagihkan kurma untuk setiap keluarga di Parlimen ini.

“Selain itu, kita juga akan me­ngagihkan sumbangan kepada beberapa kumpulan iaitu belia, ibu tunggal, golongan asnaf, pesara kerajaan, perantau dan Persatuan Mahasiswa Anak Tanah Merah (Permata),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis sumbangan kepada ahli Persatuan Ibu Tunggal Tanah Merah (Ummul Habibah) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gual Ipoh di Sekolah Kebangsaan (SK) Ipoh hari ini.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gual Ipoh, Mohd. Bakri Mustapha dan Pengerusi Ummul Habibah, Noriah Hussin.

Dalam pada itu, Ikmal Hisham berkata, nasib ibu-ibu tunggal yang berdaftar di bawah Ummul Habibah juga terus diberi perhatian menerusi bantuan barangan dapur sebanyak dua kali setahun.

Tambah beliau, sehingga kini, ahli Ummul Habibah sudah mencecah seramai 3,117 orang keseluruhannya dan mereka ini layak untuk menerima bantuan berkenaan.

“Bantuan ini hanya disalurkan kepada mereka yang berdaftar dengan Ummul Habibah sahaja. Oleh itu, mana-mana ibu tunggal yang masih belum berdaftar boleh mendaftar dan mengambil borang di pejabat UMNO Bahagian,” katanya.

Sumber: Utusan Malaysia | 21 Mei 2016 | Terbitan 22 Mei 2016

Tiada ulasan:

Catat Ulasan