KUALA TERENGGANU: Polis Terengganu berjaya melumpuhkan kegiatan perjudian dalam talian yang dipercayai baru bertapak di negeri ini, dengan penahanan empat lelaki di sebuah kafe siber di Besut, semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri ACP Wan Abd Aziz Wan Hamzah berkata dalam serbuan pada kira-kira 12.35 malam itu, polis memberkas seorang pelanggan yang sedang leka melakukan pertaruhan dan pemilik Kafe Siber yang berasal dari Kluang, Johor.
Beliau berkata polis turut menahan rakan kepada pelanggan berkenaan dan juruwang serta merampas peralatan perjudian seperti komputer riba, monitor, modem dan telefon bimbit.
Polis turut menemukan buku catatan yang tercatat pertaruhan perjudian serta helaian resit deposit bank berjumlah RM7,000 dan RM1,270 dan wang tunai RM824 dipercayai hasil perjudian, katanya pada sidang media di sini Selasa.
Beliau berkata kesemua yang ditahan berumur 21 hingga 41 tahun itu direman sehingga Rabu untuk siasatan.
Wan Abd Aziz juga berkata polis berjaya memberkas seorang lelaki selepas kira-kira tiga jam melarikan sebuah pacuan empat roda milik seorang pekebun yang diletakkan berhampiran sebuah restoran makanan segera di sini, semalam.
Katanya selepas menziarahi rakannya di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), pekebun berumur 65 tahun berasal dari Ajil itu mendapati kenderaannya hilang pada kira-kira 12.30 tengah hari dan terus menghubungi talian kecemasan MERS 999.
Unit Rondaan Bermotosikal (URB) berjaya mengesan kenderaan itu di kawasan bandar Permaisuri, Setiu kira-kira pukul 3 petang dan terpaksa mengejar kereta itu kira-kira 30 minit sebelum suspek memberhentikan kenderaan di kawasan ladang kelapa sawit, katanya.
Katanya terdapat tiga lelaki di dalam kenderaan tersebut dan dua daripada mereka yang berasal dari negara jiran berjaya meloloskan diri manakala pemandu berjaya diberkas.
Semakan rekod mendapati pemandu yang berasal yang Johor itu pernah ditahan lima kali kerana terlibat dalam kes curi kenderaan dan dadah di Johor pada tahun 2014, katanya.
"Usaha mengesan dua lagi rakan suspek yang dikenali Sobree Palakmuming, 34, dan Pak Yu yang dipercayai warga negara Thailand sedang giat dijalankan termasuk menggunakan unit anjing pengesan," katanya.
Wan Abd Aziz berkata polis percaya kesemua suspek terlibat dalam sindiket curi kenderaan yang menyasarkan pacuan empat roda untuk diseludup ke negara jiran.
Sumber: Bernama | 3 Mei 2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan