Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Selasa, 31 Mei 2016

Malaysia sertai kelompok negara maju 2021


Rajiv Biswas.
KUALA LUMPUR: Malaysia bakal menyertai kelompok negara-negara maju menjelang tahun 2021, apabila pendapatan perkapita setiap penduduk negara ini diramal mencecah AS$15,000 (RM61,200) setahun daripada AS$9,900 (RM40,392) setahun setakat 2016.

Ramalan itu dibuat apabila nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia dijangka mencecah AS$500 bilion (RM2.04 trilion) pada tahun 2021 berbanding AS$300 bilion (RM1.124 tri­lion) pada tahun ini.

Malah menurut firma penyelidikan IHS Global Insight, pendapatan perkapita itu dijangka mencecah AS$30,000 (RM122,400) setahun pada tahun 2030, apabila KDNK Malaysia akan bernilai AS$1 trilion (RM4.08 trilion).

Ketua Ekonomi Asia Pasifik IHS Global Insight, Rajiv Biswas berkata, ia adalah hasil penyertaan Malaysia di dalam perjanjian-perjanjian perdagangan global serta perkembangan era digital yang dilihat menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi Malaysia.

“Ekonomi Malaysia akan tumbuh secara purata lima peratus dalam tempoh sedekad. Apabila KDNK melepasi nilai AS$1 trilion, Malaysia akan menjadi ekonomi kedua terbesar ASEAN selepas Indonesia,” katanya dalam kenya­taan di sini hari ini.

Pendapatan per kapita dicapai apabila membahagikan nilai KDNK dengan jumlah penduduk negara. Pendapatan RM61,200 setahun ini bermakna pendapatan bulanan purata rakyat Malaysia pada 2021 ialah RM5,100 dan RM10,200 sebulan pada 2030.

Kata Biswas, nilai pendapatan perkapita itu adalah berdasarkan ramalan makro ekonomi yang dijalankan oleh IHS Global Insight terhadap Malaysia.

Jelasnya lagi, de­ngan peningkatan pendapatan isi rumah dan golongan berpendapatan menengah, perbelanjaan terhadap barangan seperti rumah, perabot, kesihatan, produk kewangan dan pendidikan akan menjadi enjin utama aktiviti ekonomi tempatan.

Selain itu katanya, sektor-sektor yang akan mengalami perkembangan yang baik ialah perkhidmatan kewangan, teknologi maklumat, perkhidmatan kesihatan, pendidikan, perniagaan penyumberan luar, penerbangan komersial, per­khidmatan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) dan pelanco­ngan.

Sumber: Utusan Malaysia | Nasional | 30 Mei 2016 | Terbitan 31 Mei 2016

Tiada ulasan:

Catat Ulasan