PASIR PUTEH: Pendapatan kira-kira 1,700 nelayan tradisional di Kelantan terjejas akibat fenomena El Nino sejak Mac lepas.
Pengerusi Persatuan Nelayan Kelantan Ilias Hassan, berkata fenomena itu menyebabkan air laut di kawasan tangkapan ikan, iaitu sekitar lapan batu nautika dari pantai, terlalu panas menyebabkan ikan berkurangan.
"Pendapatan mereka sebelum El Nino, secara purata agak lumayan, ada yang menjangkau RM300 sehari. Kini pendapatan mereka tidak lebih RM100 sehari," katanya.
Nelayan tradisional terbabit tinggal di jajahan Pasir Puteh, Bachok, Kota Bharu dan Tumpat.
Ilias berharap nelayan terbabit bersabar kerana katanya fenomena itu jarang berlaku dan keadaan dijangka akan pulih tidak lama lagi.
Sementara itu, seorang nelayan di Tok Bali di sini, Mat Dollah, 70, berkata pendapatannya sebelum fenomena itu antara RM200 dan RM300 sehari. Sekarang hanya antara RM50 dan RM100 sehari.
Beliau percaya ikan yang berada di kawasan tangkapan berkenaan telah bergerak ke kawasan lautan yang lebih dalam dan sejuk.
Sumber: Bernama | 19 Mei 2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan