Seramai 40 pelanggan Rayani Air berkumpul di hadapan pejabat syarikat penerbangan tersebut untuk menuntut kembali wang tiket penerbangan yang ditangguhkan di sini hari ini. |
SHAH ALAM: Pengurusan Rayani Air didakwa mungkir janji kerana gagal memulangkan semula wang tiket penerbangan sepanjang pemberhentian sementara operasinya yang berjumlah kira-kira RM150,000.
Kira-kira 40 wakil pelanggan syarikat penerbangan itu yang datang untuk menuntut bayaran itu hari ini pulang dengan tangan kosong.
Mereka datang dari seluruh semenanjung berang apabila pihak pengurusan Rayani Air mungkir janji untuk memulangkan semula wang tiket itu
Mas Ayu Mohd. Yusof, 32, yang datang dari Melaka untuk menuntut semula wang itu berasa dirinya tertipu kerana dimaklumkan akan dapat menebus semula wang tiket itu dalam tempoh tujuh sehingga 30 hari sejak April lalu.
Katanya, tempoh sebulan itu sudah tamat namun tiada sebarang maklumbalas diterima daripada pihak pengurusan syarikat penerbangan berkenaan.
Kira-kira 40 pelanggan mewakili 200 penumpang itu berhimpun untuk menebus semula wang mereka, namun tidak berhasil apabila pejabat tersebut ditutup manakala individu yang bertanggungjawab di pejabat tersebut berdolak-dalik.
Terdahalu, kesemua yang hadir telah membuat laporan di Balai Polis Seksyen 15, Shah Alam berhubung perkara itu.
Semalam, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai dalam kenyataanya berkata nasib syarikat penerbangan itu sama ada dibenarkan beroperasi atau perkhidmatannya ditamatkan akan diketahui tidak lama lagi.
Laporan akhir siasatan yang dilakukan oleh Jabatan Penerbangan Awam (DCA) terhadap syarikat penerbangan patuh syariah itu telah diterima dan satu mesyuarat akan diadakan bagi memutuskan masa depan syarikat itu.
Sumber: Utusan Online | 24 Mei 2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan