KUALA KANGSAR: Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM152 juta kepada negeri Perak untuk penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) 2018, kata Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.
Beliau berkata peruntukan itu akan diguna bagi membolehkan pembangunan semula dan membaik pulih beberapa prasarana sukan di Perak.
"Inilah komitmen kerajaan Persekutuan untuk membantu Perak menyediakan segala kemudahan.
"Tapi peruntukan (RM152 juta) itu tidak termasuk Velodrom Rakyat Ipoh yang akan dibaik pulih sama ada akhir tahun ini atau awal tahun depan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Fit Malaysia @ Perak 2016 di sini hari ini.
Kira-kira 12,000 orang menyertai program itu yang melibatkan acara larian dan berbasikal.
Ketika ditanya mengenai penjagaan serta pengurusan velodrom itu selepas penganjuran Sukma 2018, Khairy berkata pihaknya akan mengadakan perbincangan lanjut dengan pihak Majlis Bandaraya Ipoh (MBI). Terdahulu dalam ucapannya, Khairy mencabar Perak supaya bukan sahaja menjadi tuan rumah Sukma yang terhebat, malah mampu muncul juara.
"Saya harap Perak tetapkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) untuk muncul juara Sukma 2018," katanya.
Sementara itu, Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata peruntukan daripada kerajaan Persekutuan itu akan diguna untuk membaik pulih beberapa kemudahan termasuk stadium dan padang tembak selain membina kolam renang baharu di Ipoh.
Ditanya mengenai kebimbangan prasarana tersebut akan terbiar, Zambry berkata kerajaan negeri akan memastikan ia dijaga dengan baik memandangkan kemudahan yang dibina dan dibaik pulih itu digunakan oleh orang awam sepanjang masa.
Sumber: Bernama | 29 Mei 2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan