Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Selasa, 17 Mei 2016

Perhilitan Kelantan sahkan penemuan tulang babi di Sungai Golok

PASIR MAS: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan mengesahkan tulang yang ditemui penduduk di Sungai Golok di sini, baru-baru ini adalah milik dua ekor babi kampung.

Pengarah Perhilitan Kelantan Mohamad Khairi Ahmad berkata tulang itu berkemungkinan terdampar di tebing Sungai Golok selepas ada penduduk negara jiran yang membuangnya ke dalam sungai dan hanyut sehingga ke Kampung Kubang Rambutan, Rantau Panjang.

Mohamad Khairi berkata sebelum ini tulang babi tersebut tidak kelihatan namun ia semakin jelas kelihatan selepas air sungai semakin cetek.

"Jabatan Perhilitan Kelantan telah menghantar sepasukan tiga kakitangan ke kawasan berkenaan selepas menerima laporan daripada penduduk yang mengesyaki tulang yang ditemui adalah tulang babi.

"Siasatan yang dilakukan mendapati memang benar tulang itu adalah tulang babi kampung yang dipelihara penduduk negara jiran dan dibuang ke dalam sungai selepas binatang itu mati," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Penduduk di Kampung Kubang Rambutan, Rantau Panjang sebelum ini mendakwa menemui sisa tulang babi di tebing Sungai Golok.

Penduduk kampung tersebut menjadikan air Sungai Golok sebagai sumber utama untuk mandi dan membasuh pakaian berikutan gangguan bekalan air.

Air dari situ turut mengalir di Kampung Bagus yang kini menjadi tempat perkelahan baharu di kawasan sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan kerana paras air sungai yang cetek.

Dalam perkembangan sama, Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan Datuk Dr Ahmad Razin Ahmad Mahir berkata pihaknya akan menghantar sepasukan kakitangan Bahagian Air dan Kebersihan Alam Sekitar (Bakas) ke kawasan yang dilaporkan.

Beliau berkata sampel air di sungai tersebut akan diambil untuk dikaji memandangkan ia digunakan oleh ramai penduduk.

"Bagaimanapun setakat ini tiada sebarang kes berkaitan penyakit bawaan air dilaporkan berlaku di kawasan berkenaan," katanya.

Sumber: Bernama | 17 Mei 2016

Tiada ulasan:

Catat Ulasan