BANGKOK: Kerajaan Thailand menolak cadangan Perhimpunan Pemandu Pembaharuan Kebangsaan (NRSA) untuk membina terusan yang menghubungkan Songkhla dan Krabi di bahagian selatan Thailand.
Timbalan Perdana Menteri General Prawit Wongsuwon berkata, kerajaan tidak bersetuju dengan cadangan yang akan menghubungkan Teluk Thailand dengan Laut Andaman.
"Sungguhpun mereka (NRSA) mencadangkannya sekali lagi (mengenai terusan), tetapi idea saya masih tetap sama iaitu saya tidak mahu ia diteruskan," katanya kepada media di Kementerian Pertahanan di sini pada Isnin.
Beliau menegaskan cadangan itu "bukan satu idea yang baik" selain bermasalah kerana terdapatnya pandangan berbeza daripada banyak pihak kerana ada yang menyokong dan ada membantah.
Prawit berkata demikian sebagai mengulas kenyataan bekas komander tentera keempat dan ketua penasihat projek General Harn Leenanon berhubung cadangan NRSA untuk membina terusan sejauh 135 km yang akan menyediakan jalan perdagangan baharu.
Terusan "9A Route" berukuran 350 meter ke 400 meter lebar dan sedalam 30 meter, sepatutnya menghubungkan Songkhla dan Krabi melalui Phattalung, Nakhon Si Thammarat dan Trang di bahagian selatan Thailand.
Menurut Harn projek itu dijangka memberi banyak kesan sampingan kepada ekonomi tempatan selain dapat mewujudkan peluang pekerjaan.
Baru-baru ini media tempatan melaporkan, syarikat Thailand-China memperuntukan setahun untuk menjalankan penyelidikan berhubung cadangan itu.
Sumber: Bernama | 30 Mei 2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan