Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Isnin, 23 Mei 2016

Rindu masakan Malaysia di Bangkok? Singgah Restoran Ibu di Silom


Pemilik Restoran Ibu, Ahmad Shukri Mohamad Salim (tengah) bersama Duta Malaysia ke Thailand, Datuk Nazirah Hussain (dua, kanan) pada majlis prapelancaran restoran itu baru-baru ini.
BANGKOK: Bagi mereka yang berkunjung ke kota Bangkok selepas ini, kerinduan terhadap juadah Malaysia seperti nasi lemak dan laksa bakal terubat dengan pembukaan Restoran Ibu di ibu negara Thailand itu.

Diusahakan bekas chef hotel lima bintang di Kuala Lumpur, Ahmad Shukri Mohamad Salim, pembukaan restoran tersebut katanya adalah untuk memenuhi permintaan tinggi terhadap juadah Malaysia di ibu kota itu.

Permintaan terhadap makanan Malaysia yang halal sememangnya tinggi daripada mereka yang berkunjung ke Bangkok serta yang tinggal di kota ini, ditambah pula ketiadaan restoran seumpama ini sejak beberapa tahun ini.

“Restoran Ibu menyajikan makanan yang menepati selera orang Malaysia seperti juadah itu dimasak sendiri oleh ibu mereka di rumah,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Ahmad Shukri berkata demikian pada majlis prapelancaran restoran itu yang terletak di kawasan tarikan pelancongan Silom dan turut dihadiri Duta Malaysia di Thailand Datuk Nazirah Hussain.

Restoran Ibu terletak di 761 Silom Road, Silom akan beroperasi secara rasmi mulai 27 Mei ini dari 11 pagi hingga 10 malam. Ahmad Shukri boleh dihubungi di talian 02-6350441.

Selain nasi lemak dan laksa, antara menu istimewa lain adalah nasi ayam panggang dan nasi ayam kukus, mee mamak, nasi goreng kampung, keropok lekor selain minuman popular rakyat Malaysia seperti teh tarik serta sirap bandung.

Restoran Ibu akan turut menyajikan beberapa juadah popular Thai, kata Ahmad Shukri. Sementara itu, Nazirah berkata Bangkok dan Thailand menyediakan peluang yang besar kepada mereka yang berminat membuka restoran berasaskan makanan Malaysia berikutan permintaan yang tinggi.

Selain menerima permintaan yang tinggi daripada pelancong Malaysia dan mereka yang menetap di Bangkok, juadah negara ini kata beliau, turut diminati warga Thailand.

“Penduduk Thailand amat meminati juadah Malaysia terutamanya nasi lemak, nasi ayam, laksa dan makanan Malaysia yang lain. Juadah yang disajikan Restoran Ibu memang mempunyai formula kejayaan,” katanya.

Sumber: Bernama | 23 Mei 2016

Tiada ulasan:

Catat Ulasan