KOTA BHARU: Seorang anggota bomba cedera selepas terjatuh ke dalam perigi sedalam kira-kira dua meter ketika operasi memadam kebakaran sebuah kedai perabot di Padang Enggang, Jalan Kuala Krai-Kota Baharu di sini, hari ini.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kota Baharu Pegawai Kanan Bomba II Mazlan Mohamed berkata anggota bomba tersebut terseliuh bahu dalam kejadian itu.
"Anggota bomba berkenaan kemudiannya dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini untuk rawatan," katanya kepada Bernama ketika dihubungi.
Mazlan berkata pihaknya menerima panggilan kejadian kebakaran itu pada pukul 12.30 tengah hari dan tiba ke lokasi 10 minit kemudian bersama 15 anggota dan empat jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Baharu.
"Sebaik tiba di tempat kejadian kita dapati kedai berkenaan telah 40 peratus terbakar. Api berjaya dikawal dan dipadam sepenuhnya pada pukul 1.26 tengah hari," katanya.
Beliau berkata tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.
Sumber: Bernama | 1 Mei 2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan