MIRI: Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) mahu semua pihak tidak teregsa-gesa membuat kesimpulan tentang cadangan pindaan bagi meluaskan bidang kuasa Mahkamah Syariah yang dibentangkan di Dewan Rakyat baru-baru ini.
Presidennya, Datuk Seri Tiong King Sing, berkata usul Rang Undang-undang Persendirian bagi meminda Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) yang dibentangkan Anggota Parlimen Marang dan presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada 26 Mei tidak sepatutnya mencetuskan spekulasi tidak berasas, tanpa memberi peluang kepada Hadi memberi penjelasan terperinci tentang pindaan dicadangkan itu terlebih dahulu.
"Beliau (Hadi) masih perlu membentangkan rang undang-undang itu untuk bacaan seterusnya, jika anggota dewan mendapati pindaan itu bercanggah dengan kepentingan orang Islam atau ia dikuatkuasakan terhadap bukan Islam, sudah tentulah dewan tidak akan membiarkan rang undang-undang itu diluluskan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tiong berkata selagi rang undang-undang itu terletak dalam lingkungan perlembagaan negara, maka ia perlu diberi hak untuk didengari dan dibahaskan di Dewan Rakyat sebelum diluluskan atau ditolak.
Tiong menolak dakwaan bahawa UMNO menyokong pelaksanaan hudud apabila ia memberi lampu hijau kepada cadangan Abdul Hadi itu dan seterusnya berkata, pindaan itu tiada kena mengena dengan hudud.
"Saya tidak fikir UMNO secara senyap-senyap bekerjasama dengan PAS untuk menyokongnya," katanya.
Setakat ini, SPDP, satu daripada parti komponen BN negeri ini, merupakan satu-satunya parti pelbagai kaum yang belum menolak cadangan pindaan itu, walaupun empat parti gabungan lain iaitu MCA, MIC, SUPP dan Gerakan, menolaknya.
Dalam kenyataan bersama baru-baru ini, presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai, presiden MIC Datuk Seri Dr S.Subramaniam, Timbalan Presiden SUPP Datuk Seri Richard Riot dan Presiden Gerakan Datuk Seri Mah Siew Keong berkata sekiranya rang undang-undang itu diluluskan, ia melanggar perlembagaan persekutuan.
Sumber: Bernama | 29 Mei 2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan