BACHOK: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan menyasarkan 5,000 remaja akan menyertai Program MyLesen untuk mendapatkan lesen menunggang motosikal kelas B2, dalam Sesi April hingga Oktober tahun ini.
Pengarahnya, Mahasan Mustapa berkata sebelum ini iaitu sesi Ogos 2015 hingga 31 Mei ini, seramai 3,450 calon MyLesen didaftarkan iaitu remaja yang berusia 16 tahun dan ke atas.
"Dengan bayaran RM299, program ini dijangka menarik ramai golongan remaja untuk memiliki lesen motosikal kelas B2 dan tidak lagi menunggang motosikal tanpa lesen," katanya kepada pemberita selepas melawat Akademi Memandu KIST di sini, hari ini.
Mahasan berkata daripada 3,450 calon MyLesen bagi sesi Ogos 2015 hingga 31 Mei ini, 2,460 daripadanya sudah lulus manakala bakinya akan diselesaikan tidak lama lagi.
Beliau berkata bagi menjayakan program MyLesen, pihaknya turut menjadikan Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan sebagai 'rakan strategi' bagi mendorong pelajar sekolah yang berusia 16 tahun ke atas supaya memiliki lesen kelas B2.
"Di Kelantan ada 13 institut memandu dan sesiapa sahaja yang mahu memohon MyLesen boleh berdaftar di institut memandu di kawasan masing-masing kerana mereka sudah berdaftar dengan JPJ.
Mahasan berkata setakat ini, 571 calon sudah membuat pendaftaran bagi memiliki lesen tersebut bagi sesi April hingga Oktober 2016, di seluruh negeri ini.
Sementara itu, Pengarah AMKIST, Datin Noor Haslina Abdullah berkata calon MyLesen yang berdaftar dengan pihaknya akan diberikan kemudahan termasuk bayaran pendaftaran antara RM30 dan RM50.
Beliau berkata remaja yang mahu memiliki lesen melalui akademinya juga boleh membuat bayaran secara ansuran atau secara berjadual.
"Sebenarnya ini adalah sebagai salah satu program khidmat masyarakat pihak kami bagi membolehkan setiap remaja memiliki lesen menunggang yang sah dan belajar teknik menunggang dengan betul.
"Lagipun, sekiranya mereka terbabit dalam kemalangan sekurang-kurangnya mereka memiliki lesen yang sah untuk apa-apa tuntutan. AMKIST menyasarkan 500 calon berdaftar di akademi ini," katanya yang turut menyediakan kenderaan untuk mengambil dan menghantar calon untuk pendaftaran dan menjalani latihan.
Sumber: Bernama | 18 Mei 2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan