Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Ahad, 29 Mei 2016

HRPZII punyai Bilik Bersih Total Parenteral Nutrition untuk kemudahan produk steril

KOTA BHARU: Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) di sini, kini mempunyai sebuah Bilik Bersih Total Parenteral Nutrition, iaitu bahagian khas bagi penyediaan steril untuk memenuhi keperluan pesakit yang kian meningkat di Kelantan.

Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi Kementerian Kesihatan Datuk Eisah A Rahman berkata dengan wujudnya Bilik bersih itu, HRPZII adalah satu-satunya hospital di bawah Kementerian Kesihatan di Kelantan yang mempunyai Bilik Bersih untuk penyediaan produk steril.

"Kini selepas hampir 30 tahun terdapat 56 hospital di seluruh negara yang menawarkan perkhidmatan Farmasi Nutrisi Parenteral dan terbaharu, di HRPZII di sini," katanya selepas majlis perasmian dan penyerahan Bilik Bersih Total Parenteral Nutrition Jabatan Farmasi HRPZII di sini, hari ini.

Beliau berkata Perkhidmatan Nutrisi Parenteral pertama kali diperkenalkan di negara ini di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan pada 1986 diikuti dengan Hospital Pulau Pinang dan Hospital Kuala Lumpur.

Beliau berkata pada 1987 Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian di sini, pula secara formal memulakan rondaan Nutrisi Parenteral di wad yang diketuai oleh ahli farmasi, dan kemudiannya oleh hospital lain sehingga jumlahnya kini mencapai 56 hospital yang menawarkan perkhidmatan serupa.

"Kemudahan ini adalah sejajar dengan polisi Bahagian Perkhidmatan Farmasi di mana setiap sediaan steril farmaseutikal hendaklah disediakan dalam bilik bersih yang dikualifikasi dan mematuhi amalan penyediaan yang baik," katanya.

Eisah berkata permintaan bagi perkhidmatan Nutrisi Parenteral sentiasa meningkat setiap tahun dan pada 2013 sebanyak 80,967 beg disediakan dan pada 2014 ia meningkat sebanyak 87,555 beg manakala pada 2015 bertambah kepada 97,311 beg.

Beliau berkata di Kelantan, jumlah sediaan sepanjang 2015 adalah sebanyak 11,536 beg iaitu 11.7 peratus daripada keseluruhan sediaan yang melibatkan 98,311 beg.

"Produk steril yang dihasilkan ini bukan sahaja untuk pesakit di HRPZII sahaja tetapi untuk hospital daerah yang lain di Kelantan," katanya.

Turut hadir Pengarah Kesihatan Kelantan, Datuk Dr Ahmad Razin Ahmad Maher, Pengarah Jabatan Kerja Raya Kelantan, Ir Razani Ab Lazid dan Pengarah HRPZII, Dr Wan Hazimah Wan Mohamed.

Sumber: Bernama | 29 Mei 2016

Tiada ulasan:

Catat Ulasan