TANAH MERAH: Kerajaan Kelantan menghadapi kekangan dalam mendapatkan tanah yang sesuai bagi pembinaan perumahan mampu milik untuk rakyat di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan Negeri Datuk Ab Fattah Mahmood berkata kekangan tersebut berkemungkinan akan membantutkan sasaran kerajaan negeri untuk membina 5,000 buah rumah mampu milik menjelang 2018.
"Kami menghadapi masalah berkenaan berikutan tanah milik kerajaan negeri tidak banyak di kawasan berdekatan dengan bandar, sekiranya ada ia agak berada di pedalaman.
"Jika kami membangunkan kawasan perumahan tersebut di kawasan pedalaman, ia akan merugikan kerajaan negeri kerana tidak ada rakyat yang berminat memandangkan kawasan itu jauh dari bandar," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Rumah Contoh Projek Rumah Mampu Milik Kelantan di Pasir Genda, Bukit Gading di sini hari ini.
Ab Fattah berkata setakat ini, sebanyak 3,000 buah rumah mampu milik di seluruh negeri ini dalam proses pembinaan dan sebahagiannya hampir siap.
Sebanyak 64 buah rumah akan dibina di Projek Rumah Mampu Milik, Pasir Genda yang dijangka disiapkan akhir tahun ini.
Sumber: Bernama | 25 Mei 2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan