PASIR PUTEH: Lebih 200 hektar hutan tanah gambut di lima kampung di sini, terbabit dalam kebakaran akibat cuaca panas melampau berikutan fenomena El-Nino sejak Mac lepas.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Penolong Penguasa Bomba Azhar Musthapa berkata kampung berkenaan ialah Gong Kulim, Gong Kubur, Tok Bali, Gong Kedok dan Jelor.
"Sebanyak 33 anggota bomba termasuk dari pasukan bomba sukarelawan bekerja siang dan malam memadamkan kebakaran tersebut daripada merebak ke rumah penduduk di kampung terbabit," katanya kepada pemberita pada majlis gotong-royong membersihkan Masjid Gong Kulim di sini, hari ini.
Lebih 100 penduduk bersama sekumpulan anggota bomba menyertai gotong-royong berkenaan yang diadakan sempena Sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia 2016 peringkat daerah Pasir Puteh.
Azhar berkata kebakaran hutan itu berpunca daripada pembakaran terbuka yang dilakukan individu yang tidak bertanggungjawab dan operasi untuk memadamkan kebakaran hutan itu mengambil masa berikutan sumber air seperti dari sungai dan tali air sudah kekeringan.
Beliau berkata sejak Mac lepas hingga kini, pihaknya menerima lebih 100 panggilan kecemasan berkaitan kebakaran hutan dan rumah penduduk dan kebakaran hutan yang sukar dikawal itu menyebabkan kawasan kampung terbabit mengalami keadaan berjerebu.
Sumber: Bernama | 13 Mei 2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan