Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Rabu, 18 Mei 2016

Syarat lesen syarikat penerbangan diperketat


KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memperketatkan syarat dan prosedur operasi standard (SOP) bagi meluluskan lesen operasi kepada mana-mana syarikat penerbangan bagi mengelakkan insiden penggantungan Rayani Air daripada berulang lagi.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab. Aziz Kaprawi berkata, pihaknya akan meneliti setiap aspek termasuk faktor kestabilan kewangan syarikat penerbangan yang mahu beroperasi pada masa akan datang.

“Berhubung Rayani Air, kami bukannya terlepas pandang soal kewangan dan pengurusan syarikat penerbangan itu tetapi pada ketika itu, pihak pengurusan mengemukakan pelan perniagaan dan ada individu berpengalaman bersama mereka.

“Namun tindakan individu berkenaan meninggalkan syarikat itu telah menjejaskan operasi syarikat tersebut,” katanya di lobi Parlimen di sini hari ini.

Minggu lalu, Pengarah Kewangan Rayani Air, Datuk G. Karthiyani, menghadiri sesi inkuiri di Jabatan Penerbangan Awam (DCA) selepas menerima pelbagai aduan terhadap syarikat penerbangan itu.

Sebelum itu, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai mengumumkan operasi Rayani Air digantung selama tiga bulan kerana gagal mematuhi peraturan ditetapkan oleh kementerian itu dan DCA.

Mengulas lanjut, Ab. Aziz berkata, Rayani Air masih belum meyakinkan pihaknya berhubung kemampuan meneruskan syarikat penerbangan dan perkara seperti itu tidak seharusnya berlaku sama sekali.

Sumber: Utusan Malaysia | Nasional | 17 Mei 2016 | Terbitan 18 Mei 2016

Tiada ulasan:

Catat Ulasan