TANAH MERAH: Tiga balai bomba untuk pasukan bomba sukarela akan dibina di negeri ini tahun ini, kata Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan Azmi Osman.
Beliau berkata ia akan dibina di Kota Baharu, Bachok dan Kuala Krai, dan tender pembinaannya akan dibuka dalam tempoh terdekat.
"Pembinaan tiga balai bomba itu akan membantu kami mencapai prestasi dan kecepatan apabila menerima panggilan kes kebakaran dan semua aktiviti menyelamat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia 2016 Peringkat Kelantan di sini hari ini.
Azmi berkata ia juga akan menjurus kepada pengambilan anggota bomba sukarela baharu, sekali gus menambah kekuatan dalam menyediakan perkhidmatan kepada masyarakat.
Sementara itu, beliau berkata dari Januari hingga semalam, pihaknya merekodkan 1,598 kes kebakaran, berbanding 337 kes bagi Januari hingga Mei tahun lepas.
Sumber: Bernama | 19 Mei 2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan