Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Rabu, 11 Mei 2016

4,000 petani terima manfaat selepas empangan rendah KADA beroperasi hujung Jun

KOTA BHARU: Kira-kira 4,000 petani di bawah Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) akan memperoleh manfaat daripada projek empangan rendah yang akan beroperasi hujung Jun ini.

Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) Datuk Seri Dr Ismail Bakar berkata projek bernilai RM42 juta itu akan dapat menyelesaikan masalah pengairan di kawasan Pasir Mas, Tumpat dan Kota Baharu yang sering berdepan kekurangan air akibat kemarau.

"Ia akan membolehkan dua rumah pam KADA di Lemal dan Kasar, Pasir Mas beroperasi sepanjang masa kerana paras air sungai berjaya ditingkatkan," katanya selepas meninjau pembinaan empangan tersebut di Salor di sini, hari Sabtu.

Ismail berkata projek yang dibina bermula pada 2013 merupakan empangan pertama yang merentasi sungai di negara ini, yang akan membantu meningkatkan paras air sungai ke paras 1.8 meter bagi membolehkan kedua-dua rumah pam berkenaan beroperasi.

"Projek ini adalah yang pertama di Malaysia yang turut menggunakan kaedah 'navigation lock' bagi kegunaan laluan bot-bot kecil untuk menyeberangi empangan berkenaan," katanya.

Beliau berkata pembinaan empangan rendah berkenaan mungkin akan dilaksanakan di tempat lain bagi menyelesaikan masalah air di kawasan pertanian namun kerajaan akan menilai keperluan terhadap empangan jenis itu terlebih dahulu.

Sumber: Bernama | 7 Mei 2016

Tiada ulasan:

Catat Ulasan