Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Isnin, 30 Mei 2016

Kelantan perlukan hospital jantung dan paru-paru

Sheikh Ahmad Dusuki (dua, kanan) bersama Dr Mr Anas (kanan) dan Mustapa (kiri) bertanyakan perkembangan kesihatan Sulaiman.
KOTA BHARU: Persatuan Orang Kota Bharu (POKB) mencadangkan kepada kerajaan pusat agar satu hospital jantung dan paru-paru ditubuhkan di negeri ini dalam usaha meringankan beban golongan kurang berkemampuan.

Presidennya, Datuk Sheikh Ahmad Dusuki Sheikh Mohamad berkata, cadangan itu sebagai tanda sokongan terhadap saranan dikemukakan Ketua Unit Pembedahan Kardiotorasik HRPZ II, Datuk Dr Mr Anas S Ressang Amin.

“Cadangan agar diwujudkan hospital jantung di Kelantan adalah sangat tepat sebagaimana yang terdapat di Kuching Sarawak.

Memorandum pembinaan hospital tersebut sudah diserahkan kepada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed untuk dihantar ke Kabinet bagi tindakan selanjutnya,” katanya.

Sheikh Ahmad Dusuki ditemui media selepas Majlis Makan Malam Apresiasi Sulaiman OKB-Kelab Media Kelantan Darulnaim (Kemudi) yang turut dihadiri Timbalan Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf, Muhammad Nasir Hamzah, di sini, kelmarin.

Turut hadir Pengarah Kesihatan Kelantan Datuk Dr Ahmad Razin Ahmad Maher dan Presiden Kemudi, Mohd Zailani Abd Rahman.

Beliau berkata, pihaknya sedar, ramai pesakit di negeri ini tidak mampu mendapatkan rawatan sama ada di Institut Jantung Negara mahupun pusat-pusat kesihatan berbayar lain berikutan kos yang tinggi sehingga melebihi RM40,000. “Jadi POKB cuba ketengahkan cadangan ini akan rakyat Kelantan mempunyai hospital khas untuk rawatan jantung dan paru-paru bagi membolehkan pesakit di sini menerima rawatan dalam negeri,” katanya.

Mengulas lanjut, Sheikh Ahmad Dusuki berkata, dengan adanya hospital berkenaan ia dapat mengurangkan kos selain mempercepatkan lagi pembedahan jantung dan dapat menyelamatkan lebih ramai nyawa.

“Kita sedar keupayaan untuk mencari dana bagi satu pembedahan pintasan jantung amatlah berat, atas faktor itulah, sekiranya hospital berkenaan dapat diwujudkan ia dapat mengurangkan beban ditanggung setiap pesakit.

Beliau berharap cadangan menubuhkan hospital itu dipertimbangkan dalam masa terdekat sebaik keadaan ekonomi negara menunjukkan perkembangan positif.

Dalam majlis sama, Unit Jantung HRPZ II turut menerima plak dan sijil penghargaan daripada Mustafa di atas kejayaan melakukan pembedahan pintasan jantung kepada Ketua Biro News Strait Times (NST), Sulaiman Jaafar Mac lalu.
 
Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 30 Mei 2016

Tiada ulasan:

Catat Ulasan