Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Isnin, 16 Mei 2016

966 rumah kekal baharu untuk mangsa banjir di Kelantan siap dibina - Fadillah


Datuk Seri Fadillah Yusof (tengah) beramah mesra dengan mangsa banjir yang menerima rumah kekal baru di Kampung Baru Karangan Mukim Manjor.
KUALA KRAI: Sebanyak 966 unit Rumah Kekal Baharu (RKB) bagi mangsa banjir di Kelantan yang dipertanggungjawabkan di bawah Kementerian Kerja Raya telah siap dibina, kata Menterinya Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau berkata ia merangkumi 776 buah rumah di Kuala Krai, Gua Musang (148 buah), Tanah Merah (30 buah) dan 12 buah rumah di Machang.

"Sementara itu 261 buah rumah masih dalam pembinaan, manakala 54 buah rumah masih dalam urusan mendapatkan tapak oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (APBN)," katanya kepada pemberita pada majlis penyerahan kunci Rumah Kekal Baharu di Kampung Karangan di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua UMNO Bahagian Kuala Krai merangkap Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dabong Datuk Ramzi Ab Rahman, Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan Datuk Makhtar Mustapha dan Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Kelantan Ir Razani Ab Lazid.

Pada majlis berkenaan, sebanyak 40 mangsa banjir menerima kunci rumah masing-masing.

Fadillah berkata antara punca kelewatan pembinaan rumah kekal tersebut adalah berkaitan pemilikan tanah kerana hanya sebilangan daripada mangsa mempunyai milikan tanah sendiri, manakala sebahagian besar tinggal di atas tanah rizab sungai, jalan dan kereta api.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11), Kerajaan Persekutuan telah meluluskan sebanyak RM1.169 bilion bagi menyiapkan 11 projek di Kelantan di bawah pelan pelaksanaan pertama bagi tahun ini.

Fadillah berkata antaranya melibatkan pembinaan Jalan Pasir Mas Fasa 2, membaiki Jalan Kota Bharu - Kuala Terengganu di Km10 hingga Km21 dan menaik taraf Jalan Persekutuan di Jalan Kuala Krai - Kota Bharu di Km326.7.

"Selain itu, bagi pelan pelaksanaan kedua pula, kita telah mohon sembilan projek dan masih di peringkat rundingan dengan Unit Perancang Ekonomi," katanya.

Sumber: Bernama | 16 Mei 2016

Tiada ulasan:

Catat Ulasan