Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Rabu, 11 Mei 2016

Kerajaan peruntuk RM130 juta tingkat prasarana IADA Kemasin-Semerak

PASIR PUTEH: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani memperuntukkan sebanyak RM130 juta untuk meningkatkan prasarana di kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Kemasin-Semerak dalam tempoh empat tahun ini.

Ketua Setiausaha kementerian berkenaan, Datuk Seri Dr Ismail Bakar berkata ia bagi membina sistem pengairan yang lebih sempurna di kawasan IADA Kemasin-Semerak melibatkan jajahan Pasir Puteh, Bachok dan sebahagian Kota Baharu.

"Sistem berkenaan sekurang-kurangnya setanding dengan kemudahan asas yang dibangunkan oleh kerajaan sebelum ini di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA)," katanya kepada pemberita selepas merasmikan penuaian padi Skim Semerak Hulu yang membabitkan 148 hektar tanaman itu di sini, Ahad.

Majlis yang disertai 91 pesawah di kawasan berkenaan turut dihadiri Pengarah IADA Kelantan Mohamad Kaberi Ghani.

Dr Ismail berkata projek sistem pengairan itu bertujuan meningkatkan hasil padi daripada 3.7 metrik tan sehektar sekarang kepada lebih 6.5 metrik tan sehektar semusim menjelang tahun 2020 bagi tanaman padi dua kali setahun.

Beliau berkata kerajaan menyasarkan untuk mengeluarkan hasil kira-kira 24,000 tan metrik semusim di kawasan itu, yang membabitkan 5,200 hektar tanaman padi bagi menampung bekalan beras negara.

"Di samping itu kita juga akan berusaha untuk meningkatkan pendapatan petani daripada RM2,000 sekarang kepada lebih RM4,000 sebulan dengan menggalakkan mereka mengamalkan kaedah pertanian moden, lebih bersistematik dan menggunakan benih yang bermutu tinggi," katanya.

Dr Ismail berkata cadangan untuk menyerapkan IADA di bawah pentadbiran KADA masih di peringkat kajian dan kerajaan akan mempertimbangkan mengenai perkara tersebut selepas sistem pengairan di kawasan itu dilaksanakan dengan sempurna.

Mengenai El Nino, beliau berkata kawasan berkenaan tidak terjejas akibat fenomena itu kerana masih mempunyai bekalan air mencukupi untuk tanaman padi.

Sumber: Bernama | 8 Mei 2016

Tiada ulasan:

Catat Ulasan