Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Selasa, 3 Mei 2016

JPN Kelantan arah semua sekolah tubuh jawatankuasa khas tangani isu

KOTA BHARU: Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan mengarahkan semua sekolah di negeri ini supaya segera menubuhkan jawatankuasa khas bagi menangani pelbagai insiden yang tidak diingini di sekolah masing-masing.

Pengarahnya Datuk Ab Aziz Abdullah berkata penubuhan jawatankuasa yang dipengerusikan guru besar atau pengetua akan menangani sebarang insiden dengan lebih cepat dan sistematik.

"Jabatan sentiasa menetapkan setiap isu dapat diselesaikan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang sudah ditetapkan.

"Namun dalam keadaan, sekarang satu jawatankuasa khas perlu ditubuhkan dengan kadar segera supaya setiap insiden tidak menjadi isu," katanya kepada pemberita selepas Taklimat Keselamatan dan Kesihatan Persekitaran Persekolahan di Dewan Bahagian Teknologi Pendidikan, Pengkalan Chepa di sini, hari ini.

Ab Aziz berkata SOP yang ditetapkan itu termasuk apabila berlaku sesuatu insiden, setiap sekolah perlu membuat laporan segera kepada pihak jabatan dan jabatan akan melaporkannya pula kepada pihak Kementerian Pendidikan.

"Laporan awal ialah kita akan lakukan siasatan mengikut standard di sekolah dan laporan akan dihantar dalam tempoh yang ditetapkan," katanya.

Ab Aziz berkata meskipun di peringkat jabatannya sudah ada unit khas bagi menangani isu di sekolah namun penubuhan jawatankuasa khas adalah antara strategi jabatan bagi menyelesaikan isu yang timbul secepat mungkin.

Mengenai program Taklimat Keselamatan dan Kesihatan Persekitaran Persekolahan hari ini, Ab Aziz berkata ianya adalah bertujuan untuk memberi pengetahuan lebih mendalam kepada guru besar dan pengetua mengenai langkah pro- aktif yang perlu diambil sekiranya berlaku sebarang insiden di sekolah mereka, termasuk pencerobohan haiwan berbisa.

Beliau berkata keadaan cuaca panas dan kering sekarang menyebabkan haiwan berbisa akan berkeliaran di merata tempat mencari kawasan sejuk untuk bersembunyi dan tidak terkecuali kawasan sekolah dan rumah.

"Taklimat yang diberi adalah sebagai satu pengetahuan dan pendedahan kepada guru besar dan pengetua agar lebih bersedia, umpamanya mereka perlu mengetahui jenis haiwan berbisa," katanya.

Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) turut berkongsi pengalaman masing-masing dengan guru besar dan pengetua pada majlis itu.

Sumber: Bernama | 3 Mei 2016

Tiada ulasan:

Catat Ulasan