Komarudin (berdiri, dua kiri) meninjau proses permohonan skim simpanan untuk pelajar SMK Bukit Jawa, kelmarin. |
PASIR PUTEH: Pelajar di negeri ini adalah antara tertinggi menabung dengan Bank Simpanan Nasional (BSN) menerusi dua skim simpanan yang diperkenalkan.
Pengurus BSN Kelantan, Komarudin Mustapha berkata, seramai 84,000 pelajar berusia 7 hingga 17 tahun menjadi pendeposit dengan nilai simpanan lebih RM30 juta.
Katanya, BSN berbangga apabila ramai pelajar menabung menerusi Skim Galakan Simpanan Pelajar (SGSP) dan BSN Smart Junior (BSJ) yang baru dijenamakan semula awal tahun ini daripada Skim Penabung Muda.
“Seramai 69,000 pelajar menjadi penyimpan SGSP, manakala BSJ pula seramai 15,000 pelajar, perkembangan ini amat positif dan memberi impak baik kepada masa depan mereka.
“Setiap pelajar yang memiliki skim simpanan tanpa had itu dilindungi insurans yang menarik dengan faedah 10 kali ganda jumlah simpanan mereka,” katanya pada Majlis Galakan Simpanan Pelajar di Dewan Seri Gemilang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Jawa, Selising, kelmarin.
Komarudin berkata, pelajar terbabit juga layak mendapat faedah khairat kematian berjumlah RM3,000, selain faedah lain seperti menyertai lawatan, klinik pendidikan dan karnival.
Menurutnya, sebagai bank kerajaan, BSN mempunyai mandat besar dalam menggembleng simpanan kecil dalam kalangan rakyat pelbagai peringkat.
“Kita mempunyai unit khas yang berperanan aktif, bergerak ke sekolah dan mendekati komuniti termasuk masyarakat orang asli,” katanya.
Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 15 Mei 2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan