PASIR MAS: Tiada aktiviti menyalahi undang-undang dikesan membabitkan penduduk yang membanjiri Sungai Golok untuk beriadah dan bermandi-manda berikutan cuaca panas melampau ketika ini.
Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN) Kelantan, Azhar Muhamad Yusof berkata pemantauan anggota tentera dari Batalion Kelima Rejimen Sempadan (RS5) di sepanjang 1.5 kilometer di kawasan Rantau Panjang juga mendapati tiada penduduk dari negara jiran memasuki negara ini melalui sungai itu.
"Pihak keselamatan mendapati penduduk di sempadan Kelantan-Thailand itu hanya 'berpesta air' di kawasan sungai berkenaan yang kini cetek," katanya kepada pemberita selepas melawat Sungai Golok di Kampung Bagus, Rantau Panjang, Rabu.
Kampung Bagus yang bersempadan dengan Kampung Burin, Thailand kini menjadi tumpuan ramai bermandi-manda ekoran penurunan paras air Sungai Golok akibat fenomena El Nino yang melanda negara.
Berikutan keadaan sungai yang cetek, kawalan keselamatan di Sungai Golok dipertingkat kerana dikhuatiri memudahkan pihak tertentu memasuki negara ini secara haram.
"Anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang ada di sini akan sentiasa memastikan tiada sebarang jenayah rentas sempadan berlaku termasuk penyeludupan manusia, dadah dan sebagainya," kata Azhar.
Beliau berkata MKN akan mengadakan Mesyuarat Khas Keselamatan Sungai Golok pada 10 Mei ini bersama pihak berkaitan seperti Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Agensi Keselamatan Sempadan (Aksem), ATM serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) bagi membincangkan isu berkaitan sempadan itu.
"Maklumat yang diperoleh mendapati ada 120 pangkalan haram di sepanjang 168 kilometer di sempadan (Kelantan-Thailand) dari Pengkalan Kubor, Tumpat hingga Jeli.
"Kekuatan (anggota penguat kuasa) yang ada dilihat mencukupi bagi memastikan sempadan tidak dibolosi dengan sewenang-wenangnya," katanya.
Sementara itu, Pegawai Memerintah Batalion 5 Rejimen Sempadan, Left Kol Nazaruddin Ismail berkata sehingga kini, terdapat 168 pegawai dan anggota ditugaskan di sekitar Rantau Panjang.
"ATM sentiasa memantau kawasan berkenaan setiap 24 jam. Meskipun setakat ini tiada aktiviti menyalahi undang-undang dikesan namun kita perlu sentiasa berwaspada," katanya.
Sumber: Bernama | 4 Mei 2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan