Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Jumaat, 20 Mei 2016

Bazar Larut Malam RTC Kelantan tampilkan kelainan

Orang ramai memenuhi kawasan Bazar Larut Malam RTC pada cuti pekerja Mei lalu.
KOTA BHARU: Jika sebelum ini kita biasa mengunjungi bazar larut malam (uptown) di negeri lain, namun konsep bazar larut malam di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Kelantan, Tunjong, Kota Bharu menampilkan kelainan.

Kelainan ditonjolkan bukan sahaja dari segi susun atur kanopi, malah turut menyediakan kemudahan tempat parkir yang banyak, surau dan tandas yang bersih.

Bazar larut malam yang baru beroperasi Januari lalu itu turut menyediakan kanopi dan kabin dengan pelbagai jualan termasuk barangan keperluan harian, pakaian selain makanan yang ditawarkan dengan harga berpatutan.

Pengarah Syarikat JTF Marketing Services, Tengku Hazni Tuan Ismail berkata, meskipun bersifat santai, namun bazar larut malam yang beroperasi sekitar jam 8 malam sehingga 1 pagi itu mampu menarik minat ramai pengunjung terutamanya ketika musim cuti sekolah.

“Ketika cuti Hari Pekerja sekitar 28 April hingga 1 Mei lalu, kita mendapat kunjungan hampir 10,000 orang.

“Ia turut memberi pilihan kepada orang ramai untuk berbelanja di samping dapat membawa keluarga menghabiskan cuti bersama," katanya.

Menurutnya, pelanggan tidak melepaskan peluang mendapatkan barangan pilihan mereka dan ada yang datang dari luar Kota Bharu.

“Ini menunjukkan pembukaan Uptown RTC ini mendapat sambutan baik dalam kalangan pelanggan dan kita harap ia akan menjadi pilihan pengguna dari jauh mahupun dekat,” katanya.

Menurutnya, perniagaan berkonsepkan jualan yang beroperasi pada waktu malam itu juga turut memberi peluang kepada peniaga muda termasuk lepasan sekolah menceburi bidang perniagaan.

“Ramai anak muda turut menceburi bidang perniagaan di uptown ini dan ia memberi peluang mereka berjinak-jinak dalam dunia usahawan.

“Kita juga turut bekerjasama dengan Fama melalui pelbagai anjuran karnival dan jualan,” katanya.

Di samping itu, ia turut menjalin hubungan dengan pelbagai agensi supaya kewujudannya lebih diketahui umum.

Antara aktiviti yang sering diadakan termasuk cabutan bertuah dan jika pengunjung membeli serendah RM10 pun, mereka layak menyertainya dan memenangi hadiah lumayan yang disediakan termasuk televisyen, peralatan elektrik, selain motosikal yang merupakan antara hadiah utama ditawarkan.

“Kita juga turut bekerjasama dengan Radio Televisyen Malaysia (RTM) melalui pelbagai program termasuk Forum Perdana Ehwal Islam dan sebagainya bagi penyampaian dan hebahan kepada masyarakat.

"Sebarang pertanyaan dan jika berminat untuk berniaga juga boleh mendapatkan borang dan menghubungi 013-9092 555,” katanya.
 
Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 20 Mei 2016
 
Nota: Laporan ini diubahsuai dengan menggunakan bahasa Melayu yang lebih tepat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan