Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Rabu, 18 Mei 2016

Kerajaan Kelantan siasat laporan mangsa banjir masih tinggal di dalam khemah

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan akan menyiasat laporan mengenai mangsa banjir di negeri ini yang masih tinggal di dalam khemah, kata Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Datuk Abdul Fattah Mahmood.

Beliau berkata dalam mesyuarat terakhir bersama Majlis Keselamatan Negara, dipersetujui tiada lagi mangsa banjir tinggal di dalam khemah memandangkan kerajaan negeri telah menyediakan kawasan penempatan khas kepada mereka.

Katanya siasatan terdahulu oleh kerajaan negeri mendapati ada sebilangan mangsa banjir yang enggan berpindah ke kawasan penempatan sementara di Kem Program Latihan Khidmat Negara dan memilih untuk tinggal di dalam khemah kerana mengharapkan rumah mereka dapat disiapkan dengan lebih cepat.

"Yang kedua adalah kerana mereka (mangsa banjir) itu bukan orang yang patut menerima Rumah Kekal Baharu," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat Exco kerajaan negeri di Kompleks Kota Darul Naim di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas Laporan Ketua Audit Negara 2015 Siri 1 yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini, bahawa prestasi keseluruhan projek pembinaan Rumah Kekal Baharu untuk mangsa banjir kurang memuaskan dengan 40 peratus atau 557 daripada 1,395 unit rumah itu masih belum siap dibina sehingga 30 Mac lepas.

Laporan berkenaan Agensi Pengurusan Bencana Negara itu menyebut 557 mangsa banjir serta keluarga di lima negeri yang dilanda bencana alam itu pada akhir 2014 masih menetap di rumah transit, khemah dan sebagainya.

Pada akhir 2014, Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak dan Sabah dilanda banjir besar menyebabkan berlaku kehilangan nyawa, kerosakan dan kehilangan rumah.

Ekoran kejadian itu, kerajaan menetapkan sebanyak 1,395 buah rumah yang musnah sepenuhnya akan diberikan bantuan Rumah Kekal Baharu, manakala 5,544 rumah yang rosak akibat banjir diberi bantuan kerja pembaikan.

Sumber: Bernama | 18 Mei 2016

Tiada ulasan:

Catat Ulasan