Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Selasa, 3 Mei 2016

30 kumpulan kugiran Orang Asli berentap pada sambutan Hari Belia Kelantan

KOTA BHARU: Sebanyak 30 kumpulan kugiran Orang Asli akan berentap pada pertandingan yang diadakan pada Sambutan Hari Belia Peringkat Negeri Kelantan selama tiga hari bermula Khamis ini di Padang Sivik, Gua Musang.

Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan Datuk Makhtar Mustapha berkata pertandingan itu diadakan bagi menggalakkan penglibatan golongan belia masyarakat Orang Asli dalam acara dan program anjuran kerajaan.

"Kami memilih Gua Musang (bagi sambutan) kerana mahu golongan belia Orang Asli turut terlibat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Majlis Perundingan Belia Negara Sidang 1/2016 peringkat negeri di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Kelantan Md Sulji Zakaria dan Yang Dipertua Majlis Belia Kelantan Mohd Syahbuddin Hashim.

Makhtar berkata majlis Sambutan Hari Belia itu diharap akan menjadi platform utama pembangunan bakat untuk belia Orang Asli.

"Kami mahu melihat bakat dan kehebatan mereka dalam muzik, tarian ataupun dalam semua 48 program lain yang diadakan sempena sambutan tersebut," katanya.

Beliau berkata sebanyak 20,000 belia dari seluruh negeri ini dijangka menghadiri sambutan berkenaan.

Sumber: Bernama | 3 Mei 2016

Tiada ulasan:

Catat Ulasan