Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Khamis, 12 Mei 2016

El Nino: 70 pengusaha jagung di Tanah Merah alami kerugian RM100,000

TANAH MERAH: Tujuh puluh pengusaha jagung di Projek Tanaman Jagung Manis Berkelompok di Kampung Paloh di sini mengalami kerugian kira-kira RM100,000 selepas tanaman mereka terjejas akibat cuaca panas berikutan fenomena El Nino.

Ia disebabkan tanaman berkenaan tidak mendapat bekalan air mencukupi kerana parit yang mengairi kawasan penanaman seluas 56 hektar berdekatan Sungai Kelantan itu semakin kering.

Ketua peserta projek berkenaan Mat Zain Harun, 57, berkata kekurangan bekalan air menyebabkan buah yang dihasilkan menjadi kecil, selain menyebabkan banyak pokok jagung yang mati.

"Kami terpaksa bergantung kepada parit berkenaan yang mana paras airnya semakin cetek sehingga menyebabkan peserta tidak lagi dapat mengepam air menggunakan enjin pam air.

"Berikutan itu kami terpaksa memunggah air parit menggunakan baldi untuk disiram di kawasan seluas 0.8 hektar bagi setiap peserta," katanya kepada Bernama di sini, Khamis.

Mat Zain yang menyertai projek berkenaan sejak 2007 berkata walaupun tamanan jagung tidak sesukar tanaman lain bagi proses penjagaannya, namun bekalan air tidak mencukupi menyebabkan tanaman berkenaan mudah rosak dan mati.

"Kami perlu menyiram tanaman kami tiga kali sehari bagi mengelakkan ia cepat mati dan dapat mengeluarkan buah yang matang ketika ini," katanya.

Mat Zain, yang merupakan pengusaha jagung sejak 20 tahun lepas berkata beliau mungkin terpaksa menaikkan harga jagung kepada RM1 berbanding 80 sen setongkol kerana kekurangan bekalan.

Seorang peserta projek Kamarulzaman Kail, 58, berkata pada kebiasaannya dia mampu memperoleh 5,000 hingga 6,000 tongkol jagung pada satu musim, namun jumlah berkenaan berkurangan kepada 1,000 hingga 4,000 tongkol pada musim ini.

"Sebahagian besar jagung yang saya tanam menghasilkan buah yang kecil menyebabkan ia tidak dapat dijual.

"Ia turut menjejaskan pendapatan saya kerana sebelum ini, saya mampu memperoleh sekitar RM200 sehari bagi penjualan jagung," katanya.

Kamarulzaman berkata peserta boleh menanam jagung tiga kali setahun dengan setiap musim mengambil masa dua bulan.

Sumber: Bernama | 12 Mei 2016

Tiada ulasan:

Catat Ulasan