KOTA BHARU: Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) dengan kerjasama Syarikat Penerbangan Firefly dan Tourism Malaysia Kelantan mengadakan program lawatan dan sesi Business to Business (BTB) Langkawi-Kelantan 2016 di beberapa lokasi terpilih di negeri ini, baru-baru ini.
Pengurus Bahagian Pelancongan LADA, Rosnina Yaacob berkata, program ini adalah lanjutan daripada lawatan dari delegasi pelancongan negeri Kelantan yang sebelum ini telah ke Langkawi dalam usaha menggalakkan sektor pelancongan domestik di negeri ini dengan pulau legenda tersebut.
“Objektif utama penganjuran program ini adalah untuk merancakkan lagi aktiviti pelancongan di antara Langkawi dan Kelantan khusus. Ini adalah satu cara untuk kita memberi pendedahan mengenai produk atau tempat pelancongan baharu di Kelantan kepada agensi pelancongan dari Langkawi,” katanya kepada pemberita di sini semalam.
Lebih 20 penggiat industri pelancongan dari Langkawi dan Kelantan termasuk pengusaha hotel serta agensi pelancongan telah mengikuti program yang berlangsung selama tiga hari dan berakhir semalam.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Tourism Malaysia negeri, Mohd. Faizul Zakaria berkata, program sebegini adalah satu langkah terbaik bagi meningkatkan lagi kemasukan pelancong tempatan dan luar negara ke negeri ini.
“Sebelum ini, kita juga telah melaksanakan program sama bersama agensi pelancongan di Pulau Pinang memandangkan kita mempunyai penerbangan terus dari Kota Bharu ke negeri itu menerusi Firefly.
“Tambahan pula tahun ini adalah tahun melawat Kelantan, jadi kita mahu menarik seramai mungkin pelancong ke sini dengan memberi pendedahan pelbagai keunikan yang ada di negeri ini,” katanya.
Tambah beliau, program sedemikian akan diteruskan pada masa akan datang termasuk merancang untuk menjalinkan kerjasama dengan negeri-negeri lain bagi menarik lebih ramai pelancong ke Kelantan.
Sumber: Utusan Malaysia | 26 Feb. 2016 | Terbitan 27 Feb. 2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan