PASIR MAS: Seorang wanita warga emas kerugian RM30,000 selepas disamun seorang lelaki yang tidak dikenali semasa keluar memberikan air minuman kepada ternakannya di Kampung Tok Derpah di sini, semalam.
Mangsa Halimah Isa, 76, berkata semasa kejadian itu, dia keluar dari rumah sendirian ke kawasan beberapa ekor kerbau dan lembunya meragut rumput yang terletak kira-kira 500 meter dari kediamannya.
"Saya keluar pada pukul 7.30 pagi, apabila sampai di sana seorang lelaki berusia 20-an datang mendekati saya, ketika itu saya tidak mengesyaki apa-apa pada lelaki tersebut.
Dia (suspek) datang berpura-pura mahu meminta rokok dengan saya, beberapa minit kemudian dia mengambil kayu dan terus memukul kepala saya," katanya kepada pemberita di Hospital Pasir Mas di sini, hari ini.
Halimah berkata selepas dipukul oleh suspek, beliau tidak sedarkan diri sehingga ditemui penduduk yang mencarinya pada pukul 6.30 petang hari sama.
"Apabila saya sedar, salah seorang anak saya memberitahu, saya telah disamun yang menyebabkan wang RM1,000 (wang yang dibawa bersamanya), dua utas rantai, serta cincin hilang," katanya.
Beliau kini sedang menerima rawatan lanjut akibat kecederaan pada bahagian kepala, dan patah dua tulang rusuk kiri di hospital itu.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas ACP Ibrahim Saad yang mengesahkan kejadian itu, berkata pihaknya sedang menjalankan siasatan dan mengesan suspek terbabit.
Sumber: Bernama | 5 Mei 2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan