KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan mengesan lebih 8,000 hektar tanah terbiar terutama milik individu di negeri ini yang tidak diusahakan dalam tempoh tiga tahun berturut-turut.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Teknologi Hijau Negeri Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata kerajaan negeri melalui Jabatan Pertanian sedang berusaha membantu pemilik tanah tersebut mengusahakannya dengan projek pertanian termasuk ternakan ikan.
"Kita memperuntukkan RM3 juta untuk aktiviti pertanian di negeri ini iaitu RM600,000 bagi bantuan peralatan dan baki daripada peruntukan itu digunakan untuk membaik pulih infrastruktur lain seperti sistem pengairan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutupan forum petani dan usahawan bersama rakan industri serta penyerahan jentera kecil dan peralatan industri asas tani 2017 di Pusat Latihan Pertanian di sini, hari ini.
Che Abdullah berkata antara punca tanah tersebut terbiar adalah masalah sistem pengairan, penghijrahan pemilik tanah dan tidak mempunyai keupayaan untuk meneruskan kerja pertanian kerana generasi muda tidak berminat dengan bidang pertanian.
Beliau berkata selain memberi pendapatan kepada pemilik, tanah terbiar yang diusahakan akan dapat mempertingkatkan pengeluaran makanan negara.
Sumber: Bernama | 9 Oktober 2017
Tiada ulasan:
Catat Ulasan