PUTRAJAYA: Kira-kira 17.5 juta pelancong mengunjungi negara ini sejak Januari hingga Ogos lalu.
Pengarah Kanan Bahagian Promosi Antarabangsa Asia/Afrika Tourism Malaysia, Datuk Musa Yusof, berkata daripada jumlah itu, pelancong dari Singapura adalah yang tertinggi dengan jumlah 8.7 juta.
"Ia diikuti, Indonesia 1.8 juta dan China iaitu 1.5 juta, yang mana meningkat 8.3 peratus berbanding 1.4 juta bagi tempoh sama pada tahun lalu.
"Tourism Malaysia menjalankan promosi yang agresif di seluruh dunia bagi menggalakkan pelancong datang ke Malaysia. "Contohnya di China, kita terbabit dalam China International Travel Mart (CITM), Ekspo ASEAN China (CAEXPO) dan Ekspo Pelancongan Antarabangsa Beijing (BITE) bagi mempromosikan Malaysia kepada rakyat China," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Beliau ditemui ketika menyaksikan perlawanan persahabatan antara Kelab Bola Sepak Tourism Malaysia dengan Kelab Bola Sepak Industri Pelancongan Hong Kong (HKTIFA) di Stadium Pancarona, Presint 18, di sini.
Musa berkata antara aktiviti pelancongan yang digemari pelancong China adalah Durian Tour atau Lawatan Durian di Pulau Pinang dan melawat pusat peranginan di negara ini.
"Kemudahan penerbangan terus dari Hong Kong ke Kuala Lumpur, Hong Kong ke Pulau Pinang dan Hong Kong ke Kota Kinabalu melalui ketiga-tiga lapangan terbang antarabangsa itu juga menjadi salah satu tarikan kepada pelancong ini untuk melawat Malaysia.
"Kita akan terus mempergiatkan usaha mempromosikan Malaysia untuk dikunjungi bagi meningkatkan ekonomi negara sekali gus memperkenalkan produk pelancongan Malaysia ke seluruh dunia," katanya.
Sumber: Berita Harian Online | Nasional | 22 Oktober 2017
Tiada ulasan:
Catat Ulasan